Kajian mendapati kempen Pakatan Harapan (PH) di kawasan peneroka Felda masih tidak berkesan.
Pengundi di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berkemungkinan besar terus mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang walaupun badan itu berdepan dengan pelbagai skandal melibatkan orang atasannya, kata seorang pengkaji trend pilihan raya.Mohamad Hisomuddin Bakar dari badan pengkaji Ilham Centre berkata sehingga hari ini, Pakatan Harapan (PH) masih belum mampu memberi tawaran yang dapat memikat hati pengundi di kawasan Felda seluruh negara.
Menurutnya, penolakan pengundi Felda terhadap pembangkang dijangka berulang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Jika PH menawarkan perubahan yang lebih baik berbanding BN kepada peneroka, mungkin angin perubahan itu akan berlaku,” katanya di forum “Anak Muda Boikot PRU14?” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), malam tadi.
Baru-baru ini sempena hari Felda, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 6 insentif untuk peneroka antaranya dalam bentuk pelupusan hutang saham, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.
Hisomuddin berkata, walaupun tawaran diberikan BN terhadap peneroka Felda tidaklah begitu menarik, namun ia satu-satunya pilihan yang ada.
Hisomuddin berkata hasil kajiannya 3 bulan lepas di 7 kawasan Felda, usaha pembangkang menarik sokongan penduduk di situ masih tidak berkesan.
Antara kawasan yang dilawatinya ialah Felda Selancar, Felda Keratong, Felda Palong, Felda Chini, Felda Bukit Gong, Felda Jengka dan Felda Lepar Utara.
“Hasil kajian dapati, walaupun PPBM menggempur kawasan Felda, namun secara khususnya ia tidak memberi kesan kepada anak muda,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>