Menafikan majoriti pengundi Pagoh sudah bersedia melupakan dirinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya mendakwa, mereka sedar bahawa masa depan Umno di situ dan Johor secara amnya sudah hampir sampai ke penghujung.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata jika BN mendakwa pengundi di kawasan yang diwakilinya selama tujuh penggal itu boleh move on, mereka juga boleh move up.
Untuk rekod Muhyiddin mula menjadi anggota parlimen Pagoh pada 1978 dan memenanginya dengan 15,610 undi.
Beliau mengekalkan kerusi itu pada 1982, 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013 dengan setiap satu memperoleh majoriti lebih daripada 10,000.
Muhyiddin yang pernah menjadi menteri besar ke-13 Johor antara Ogos 1986 hingga Mei 1995 berkata demikian selepas mengumumkan penubuhan sekretariat pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai persediaan gabungan itu memberi saingan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.
Pada 12 Ogos lalu Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta Umno Pagoh jangan dibelenggu nostalgia kepimpinan Muhyiddin.
Menurut menteri besar ke-15 Johor itu negeri berkenaan beruntung kerana gelora di Pagoh tidak melarat dan membawa kepada keretakan Umno di negeri berkenaan.
“Krisis yang melanda (Umno) Pagoh tidak merebak. Ia hanya sementara dan telah reda. Kita tidak melihat berulangnya kelumpuhan seperti Umno di Permatang Pauh 20 tahun dahulu,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>