Baru-baru ini saya diminta untuk mengulas laporan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang dilancarkan perdana menteri tidak berapa lama dahulu.
Laporan yang dikeluarkan oleh Teraju ini merupakan pelan dan strategi yang akan memacu hala tuju Bumiputera untuk lima tahun yang akan datang.
Namun, jika inilah strategi untuk memajukan bangsa Bumiputera, saya rasa masa depan kita seolah-olah sedang diperjudikan.
Secara keseluruhan, laporan ini lemah. Kajiannya tidak teliti tanpa kedalaman intelektual yang diperlukan, dan tidak peka kepada cabaran yang dihadapi kaum Bumiputera.
Malah, dalam beberapa aspek, rumusan laporan ini seolah-olah menggambarkan penulisnya hidup di alam yang berlainan.
Difahamkan, laporan ini disediakan susulan dari sesi 'lab' yang diselia Pemandu Associates sebelum ia ditulis sebuah firma perunding antarabangsa yang dilantik oleh Teraju. Hasilnya, sebuah laporan dengan analisis dan kesimpulan yang mengecewakan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan laporan ini tidak seharusnya diterbitkan. Pendirian saya ini adalah berdasarkan empat kelemahan berikut:
Pertama, laporan ini tidak peka langsung akan isu-isu penting yang membelenggu kaum Bumiputera. Contohnya isu kemiskinan, jurang kekayaan, peluang pekerjaan, dan diskriminasi dalam sektor swasta.
Laporan setebal lebih dua ratus muka surat ini hanya menyebut tiga kali perkataan kemiskinan, malah itu pun bukannya pada halaman utama.
Tidakkah Teraju sedar kemiskinan masih lagi menebal di kalangan kaum Bumiputera. Data menunjukkan kemiskinan di kalangan Bumiputera di Sabah dan Sarawak adalah masing-masing pada kadar 20% dan 7%, dan masih ramai terdedah akan kemiskinan.
Kebisuan anggun ataupun dalam bahasa Inggerisnya 'elegant silence' ini amat ganjil sekali apabila kita semua tahu kadar kemiskinan paling tinggi adalah di kalangan kaum Bumiputera berbanding kaum-kaum yang lain.
Isu kemiskinan bandar juga langsung tidak dihuraikan. Malah ironinya, laporan Pelan Tindakan India Malaysia (MIB) yang dilancarkan perdana menteri beberapa hari selepas laporan TKB ini dikeluarkan menyebut isi kemiskinan hampir 50 kali walaupun kemiskinan dalam kalangan kaum India adalah lebih rendah berbanding kaum Bumiputera.
Tambahan lagi, isi jurang kekayaan juga tidak disebut. Pengangguran belia dan siswazah juga tidak dihuraikan secara mendalam oleh laporan ini.
Begitu juga kekangan dalam sektor tenaga kerja walaupun ada kajian ilmiah yang menunjukkan terdapat isu diskriminasi di sektor swasta terhadap graduan Bumiputera.
Kedua, laporan hala tuju ini tidak memberitahu kita kedudukan semasa kaum Bumiputera dari segi pendidikan, pekerjaan, pengumpulan harta dan sebagainya.
Tiada perangkaan langsung jumlah profesional Bumiputera – adakah makin bertambah ataupun menurun, jumlah pelajar yang tercicir, dan mereka yang menganggur sebagainya.
Read More / Baca Lagi >>