Sentimen berhati-hati berikutan ancaman nuklear di samping kejatuhan harga komoditi serta penyusutan ringgit berbanding dolar AS akan terus menyebabkan pelabur enggan memasuki pasaran.
KUALA LUMPUR: Trend menurun di Bursa Malaysia dijangka berterusan minggu depan ketika selera risiko untuk ekuiti kekal lembap kerana penggiat pasaran menunggu perkembangan positif daripada ketegangan geopolitik Amerika Syarikat-Korea Utara bagi meningkatkan sentimen.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, sentimen berhati-hati berikutan ancaman nuklear di samping kejatuhan harga komoditi serta penyusutan ringgit berbanding dolar US, akan terus menyebabkan pelabur enggan memasuki pasaran.
Bagaimanapun, katanya, keadaan ekonomi yang lembap hanya untuk sementara kerana penganalisis berpendapat, ia hanya retorik dan kewarasan (berkaitan ancaman pelancaran peluru berpandu) akan kekal.
“Di pasaran tempatan, asas ekonomi masih kukuh dengan pertumbuhan eksport yang mantap baru-baru ini, antara prestasi terbaik serta beberapa pengumuman pendapatan korporat yang positif. Saya berpendapat Bursa akan kembali neutral minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Read More / Baca Lagi >>