Beliau meletakkan syarat tersebut sahaja semata-semata tanpa menghuraikan sifat yang perlu ada pada seseorang pemimpin yang harus dipilih rakyat.
Walaupun Abdul Hadi menghuraikan nas-nas al-Quran di bahagian awal kenyataan tersebut dengan baik dan betul, namun pemakaian nas-nas tersebut kepada ekosistem politik Malaysia di bahagian kedua kenyataan tersebut dianggap kurang tepat dan longgar.
"Sesungguhnya sebaik orang yang engkau ambil untuk bekerja ialah orang yang al-qawiy (berkemampuan) dan al-amin (amanah)".
Tugas hakiki seorang pemimpin adalah menguruskan negara untuk kepentingan rakyat dan oleh itu, khidmat yang ditagih daripada seorang pemimpin perlu bertunggakkan prinsip kemampuan dan amanah.
Terpalit pelbagai korupsi
Apabila ditelusur kepimpinan negara yang ada pada hari ini, tidaklah mereka berkemampuan dan amanah apabila wang negara diuruskan dengan salah sehingga terpalit dengan pelbagai skandal korupsi seperti 1MDB, Felda dan bermacam lagi yang akhirnya menekan hidup rakyat dengan cukai GST dan kenaikan kos sara hidup.
Amalan perkongsian kuasa ini telah kita warisi sejak merdeka dan perlu diteruskan. Begitulah struktur kepimpinan yang ada pada BN dan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Melayu Islam tanpa mengetepikan prinsip perkongsian kuasa dengan kaum lain.
Namun, garis pemisah antara kedua-dua koalisi ini haruslah dinilai atas premis kemampuan dan amanah.
Acap kali rakyat Malaysia bukan Islam diberi amaran oleh pemimpin politik dan institusi awam Islam supaya menjaga sensitiviti orang Islam dan begitu juga orang Islam disaran menjaga sensitiviti orang bukan Islam.
Inilah prinsip rukun negara kelima yang diterapkan kepada semua rakyat Malaysia selama ini.
Malah, hujah beliau yang menyiratkan perhubungan di antara orang Islam dan bukan Islam adalah bersamaan dengan perhubungan Tuan dan Hamba dalam konteks Malaysia adalah sesuatu yang wajib diperbetulkan supaya tidak menimbulkan persepsi negatif kepada Islam yang bersifat 'rahmatan lil a'lamin'.
Isu ketuanan Melayu
Malaysia adalah sebuah 'Nation State' yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal-hal duniawi, kemasyarakatan, sosial, politik dan ekonomi, Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang tertinggi kepada kesemua warganegaranya.
Pada waktu yang sama, Perlembagaan Persekutuan merupakan satu kontrak sosial rakyat Malaysia yang mengikat kesemua rakyat sebagai warga sebuah negara berdaulat tanpa mengira agama dan keturunan.
Di samping mengiktiraf kedudukan istimewa rakyat berketurunan Melayu, rakyat bukan Melayu tetap rakyat tulen berhak saksama. Tidak sepatutnya timbul ketuanan mana mana kumpulan keturunan mahupun agama ke atas yang lain.
Read More / Baca Lagi >>