Laporan bahawa PAS akan bekerjasama dengan Umno untuk menawan Selangor mesti dilihat sebagai satu usaha untuk memburukkan imej PAS.
Ianya adalah semata-mata spekulasi tanpa sebarang bukti kukuh.
Adalah mustahil PAS akan bekerjasama dengan Umno yang sarat dengan pelbagai masalah dan telah ditolak oleh rakyat Selangor sebanyak dua kali (2008 dan 2013).
Selain itu, sokongan rakyat Selangor adalah padu bersama kerajaan negeri hari ini. Menurut satu kajian sebuah badan bebas, kurang dari 10 peratus rakyat Selangor yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri.
Sentimen akar umbi menunjukkan para pengundi akan memberi sokongan kepada parti-parti yang dilihat mewakili kerajaan negeri yang sedia ada. Umno bukan di antara parti-parti tersebut.
Saya juga tidak percaya akan berlaku perpecahan undi jika berlaku pertandingan tiga penjuru seperti dalam pilihan raya kecil (PRK) Sg Besar. PRK tidak akan mengubah kerajaan tetapi pada PRU pengundi akan lebih teliti kerana mereka akan memilih kerajaan untuk lima tahun akan datang.
Oleh itu, saya yakin majoriti rakyat Selangor akan mengundi untuk mengekalkan kerajaan negeri hari ini. Mereka akan mengundi parti-parti yang dilihat akan membentuk kerajaan negeri.
Kerajaan negeri hari ini telah melaksanakan banyak program-program untuk membantu rakyat sejak 2008. Mereka telah melakukan hampir segala-galanya di dalam bidang kuasa mereka.
Read More / Baca Lagi >>