Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, politik anarki sentiasa menjadi gangguan kepada kebebasan bersuara dan berpolitik yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Politik anarki ini boleh menjadi punca kepada tercetusnya demonstrasi dan rusuhan kerana potensi untuk balas dendam antara penyokong parti lawan akan sentiasa ada. Selain menghalang orang bersuara ia juga bertujuan menakut-nakutkan orang lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Nik Ahmad Kamal menegaskan, intimidasi sering digunakan utk mengekang kebebasan bersuara.
“Kita sedang menghampiri era negara berpendapatan tinggi dan memasuki lebih separuh abad. Politik kita seharusnya lebih matang dan lebih ‘gentleman’. Sepatutnya kita boleh terima perbezaan pendapat dan membenarkan hujah lawan. Malah kita seharusnya percaya kepada kedaulatan undang-undang.
“Kalau ucapan yang didakwa mengandungi unsur fitnah kita heret ke mahkamah, jadi jika politik stail anarki ini masih diamalkan di mana minda maju kita? Di mana politik matang kita?" Soalnya.
Tambahnya, dalam erti kata lain, politik anarki membunuh kesucian demokrasi itu sendiri.
“Masalahnya kita masih lagi menganggap politik itu menjatuhkan lawan politik ikut apa cara pun termasuk secara anarki.
“Ahli politik dan penyokong mereka hendaklah keluar dari kepompong partisan yang berlebih-lebih sehingga hilang hormat kepada kebebasan memilih dan menyokong parti atau pemimpin pilihan mereka sendiri.
Read More / Baca Lagi >>