Agong mempunyai kuasa membuat rujukan permasalahan perlembagaan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan, kata Pakatan Harapan.
KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasanya merujuk balik pelantikan semula Tan Sri Raus Sharif sebagai ketua hakim negara.
Rombongan diketuai Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyerahkan memorandum meminta Agong menggunakan kuasa di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk sama ada pelantikan Raus sebagai ketua hakim negara sah atau tidak kepada Mahkamah Persekutuan.
“Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.
“Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, pelantikan 2 jawatan yang diumumkan itu adalah oleh Tuanku YDPA atas nasihat perdana menteri, maka Tuanku berhak untuk menampilkan perkara ini untuk diputuskan mahkamah sebelum ia berkuatkuasa,” kata memorandum itu.
Turut hadir di pintu Istana Negara hari ini ialah pemimpin DAP Lim Kit Siang dan pemimpin Amanah, Datuk Mujahid Yusof.
“Pihak istana memberi kerjasama dan sambutan yang baik,” kata Tun Mahathir.
Dr Mahathir berkata sekiranya isu pelantikan Raus sebagai ketua hakim tidak ditangani segera, ia mewujudkan krisis kehakiman kerana semua perbicaraan atau keputusan selepas pelantikan yang berkuatkuasa 4 Ogos ini akan menjadi tidak sah.
“Malah sistem pentadbiran badan kehakiman yang juga dikendalikan oleh ketua hakim negara akan menjadi cacat disebabkan badan kehakiman tidak diuruskan hakim yang sah di sisi perlembagaan,” kata memorandum itu.
Read More / Baca Lagi >>