Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Rahman berkata, laporan itu bukan sahaja tidak tepat sebaliknya cenderung menyokong budaya keganasan dan samseng biarpun mengancam ketenteraman awam.
Sementara itu, dalam kenyataan Syed Saddiq di akaun facebooknya, beliau berkata Tun Mahathir telah menjawab segala persoalan dengan lancar termasuk isu berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekayaan anaknya dan isu Memali.
Katanya, program NTH 2.0 berjalan dengan lancar sehinggalah pihak yang tidak bertanggungjawab mula bertindak membaling kasut, botol minuman dan juga suar ke arah Tun Mahathir.
“Tindakan ini bertujuan untuk menggugat keselamatan Tun Mahathir, dan cubaan untuk sabotaj program Nothing to Hide yang diadakan khas bagi menjawab segala persoalan rakyat Malaysia,” katanya.
Semalam, NTH 2.0 berlangsung tanpa kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti program sulung NTH dua tahun lalu.
Najib sekali lagi gagal memenuhi undangan Tun Dr Mahathir yang ingin menjadikan pentas tersebut sebagai medan perdana menteri dan beliau menjawab segala isu yang berlaku di bawah pentadbiran kedua-dua pemimpin itu.
Bagaimanapun, program yang berjalan lancar di Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia & Kebudayaan, Shah Alam itu bertukar menjadi kecoh apabila beberapa individu bertindak membaling kasut, kerusi dan suar ke arah Tun Mahathir yang sedang berucap.
Bagaimanapun beberapa petugas keselamatan berjaya melindungi bekas perdana menteri itu.