Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin mempunyai perbandingan menarik antara dua pemimpin sekarang, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan.
"Jika Abdul Hadi dipanggil tuan guru, Mahathir dipanggil doktor. Jika Abdul Hadi pernah jadi MB, Mahathir pernah jadi PM," tulisnya dengan bahasa yang santai.
"Jika Abdul Hadi pandai cakap Arab, Mahathir pandai cakap Inggeris. Jika Abdul Hadi pernah mengajar orang di masjid, Mahathir pernah merawat orang di klinik," katanya lagi.
"Jika Abdul Hadi Presiden Pas, Mahathir pernah jadi Presiden Umno. Jika Abdul Hadi ada Khalil, Mahathir ada Mukhriz," katanya.
"Kedua-duanya pernah buat dosa, dan kedua-duanya pernah buat jasa. Kedua-duanya (dan kita juga) wajib bertaubat drpd dosa," jelas beliau.Sehubungan itu, beliau menasihati agar tidak taksub kepada sesiapa sama ada Abdul Hadi atau Tun Mahathir kerana kedua-dua individu itu ialah manusia yang ada akal dan juga nafsu.
Namun di penghujung tulisannya, Zolkarnain menegaskan, "Peringatan: Ini cuma draf."
Ia dipercayai menyindir ahli jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohd Nor yang menarik balik tulisannya mengenai Akta 164 dengan alasan ia hanya draf selepas menerima teguran dan kritikan pelbagai pihak.