Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan dijalankan membabitkan rundingan komponen semua parti bagi membolehkan Pakatan berjaya menawan Putrajaya pada PRU depan.
“Ini proses berterusan, perlu rasa adanya permuafakatan Pembangkang untuk melihat kemenangan dapat dicapai pada pilihanraya akan datang.
“Strategi perlu diatur melihat kemenangan itu dan telah saya nyatakan bahawa rundingan ini terus berjalan dan akan dilaporkan kepada semua pihak untuk mencapai objektif (kejayaan) itu,” katanya seperti dipetik Selangorkini.
Timbalan Presiden PKR itu diminta mengulas berhubung lantikan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang meletakkan beliau selaku Naib Presiden dan bertanggungjawab berkait aspek pilihan raya.
Pakatan Harapan dalam sidang medianya Khamis lalu mengumumkan pelantikan Azmin dibuat bagi mengukuhkan lagi jawatankuasa pilihan raya yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Gabungan itu turut menamakan Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin sebagai Ketua Wanita Pakatan Harapan.
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, penstrukturan baru tu dibuat bagi mengisi kekosongan dalam struktur kepimpinan semasa.