Utusan siar semula kritikan Tunku terhadap Dr M infomalay12.blogspot.com

Ketika kemelut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin meruncing, Utusan Malaysia mengambil pendekatan menyiarkan kembali temubual bersama Tunku Abdul Rahman.
Video yang dimuatnaik di laman atas talian akhbar berkenaan dipercayai dirakamkan ketika tahun 1988 berhubung surat terbuka Mahathir kepada perdana menteri pertama berkenaan.
Dalam video selama kira-kira dua minit itu, Tunku menceritakan, surat yang ditulis Mahathir pada pertengahan 1969 itu menyebabkan bapa kemerdekaan itu dibenci oleh orang Melayu.
Malah, Tunku turut menceritakan, Mahathir menyalahkannya ekoran rusuhan perkauman 13 Mei yang berlaku pada tahun berkenaan.
"Saya ini dibenci oleh semua orang Melayu, dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan, dibenci oleh askar Melayu, dibenci oleh polis dan sebagainya.
"Di sini nampaknya caranya, tujuannya nak bagi orang semua-semua benci kepada saya. Buang saya dan ubahkan pemerintahan Malaya ini.
"Dia (Mahathir) kata saya ini pro-Cina, saya berjuang begitu lama, begitu susah, dan begitu payah, susah-payah, adakah dengan untuk mengangkatkan Cina?
"Dia kata saya pro-Cina, saya buat itu bagi Cina, macam-macamlah dia kata. Jadi ditunjuk di situ khianatnya," kata Tunku dalam temubual berkenaan.
Pecat Mahathir
Justeru, Tunku memberitahu, satu-satunya tindakan yang boleh dilakukannya ialah memecat Mahathir dari Umno.
"Tapi tak adalah buat apa-apa, cuma pecat (Mahathir) daripada Umno sahaja.
"Kalau dia (Mahathir) sendiri (menjadi individu yang diberi surat), tentu dia buat macam sekarang ini (tahun 1988), bubuh dalam penjara.
"Masuk tahan orang itu, tahan orang ini. Tahan surat khabar-surat khabar," katanya lagi merujuk tindakan Mahathir dalam Ops Lalang.
Dalam video yang dimuatnaik di Youtube pada 2009 itu, tidak dapat dipastikan siapa yang menemubual Tunku.
Utusan dalam artikelnya berkata, tindakan Mahathir itu telah memusnahkan semua kerja keras Tunku untuk orang Melayu dan negara.
Kemelut antara Tunku dan Mahathir memainkan peranan penting dalam politik negara.
Serangan Mahathir terhadap Tunku itu menyebabkan bapa kemerdekaan tersebut meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri pertama pada 1970 dan diganti dengan Tun Abdul Razak Hussein.
Abdul Razak merupakan individu yang memujuk Mahathir agar kembali kepada Umno dan membawanya ke kabinet sebagai menteri pelajaran pada 1974.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: