APABILA Liew Chin Tong meramalkan pada 2015 yang tsunami Melayu akan berlaku pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, tidak ramai memandang serius cetusan idea tersebut.
Tsunami politik Melayu yang dimaksudkan pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu adalah peralihan undi orang Melayu kepada pembangkang kerana marah dan tidak tahan lagi dengan tekanan ekonomi serta sosial akibat kelemahan pentadbiran Najib Razak.
Mungkin mereka yang menolak idea itu tidak cuba memahami apa yang disampaikan ahli Parlimen Kluang tersebut. Dalam tulisannya bertajuk Domino Semenanjung pada Julai 2015, Chin Tong meletakkan asas peralihan undi Melayu di kawasan yang dikuasai Umno.
Beliau berhujah: “(Pada PRU13) Umno memenangi 88 kerusi di peringkat nasional, termasuk 14 kerusi dari Sabah dan satu dari Labuan, manakala 73 kerusi selebihnya datang dari Semenanjung Malaysia. Daripada 73 kerusi di Semenanjung, Umno dijangka menang sekurang-kurangnya 30 kerusi di kawasan kampung, yang sememangnya disediakan untuk Umno dengan campuran undi Felda, undi pos, dan kerahan jentera kerajaan.
“Daripada 39 kerusi marginal yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kurang daripada 10% dalam PRU yang lalu, 32 kerusi itu dimiliki Umno. Inilah gelanggang pertaruhan untuk PRU akan datang.”
Namun, memang tidak mudah untuk menerima hujahnya pada 2015. Apa tidaknya, tahun tersebut merupakan medan ujian getir untuk pembangkang.
Pada Februari, Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia menyebabkan PR kehilangan tokoh PAS yang mampu mengukuhkan perpaduan antara parti komponen.
Pada April, Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh selepas petisennya ditolak bersabit kes liwat sebelum itu. Pada Jun, Abdul Hadi Awang dan kumpulan ulama konservatif menguasai PAS dalam pemilihan parti. Muktamar PAS tersebut juga menerima usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
Pada September, Mohamad Sabu dan rakan-rakan yang tewas dalam pemilihan PAS menubuhkan Amanah. Kemudian ia bergabung dengan DAP dan PKR untuk membentuk gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan (PH). Namun, ramai kurang yakin dengan gabungan itu kerana masih percaya undi Melayu berada di tangan PAS.
Sebelum 2015 berakhir, Najib selaku presiden Umno – sewaktu perhimpunan agung Umno pada Disember – mengajak PAS bersamanya bagi memperjuangkan Islam dan memperkukuhkan perpaduan Melayu.
Walaupun suasana muram untuk pembangkang berterusan pada 2016, ia turut mencatatkan beberapa peristiwa tidak dijangka. Umno memecat timbalan presidennya Muhyddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir manakala naib presiden Shafie Apdal pula digantung jawatan, dan kemudian keluar parti.
Yang terlebih dahulu keluar parti adalah Dr Mahathir Mohamad. Bukan setakat itu, beliau merupakan orang paling awal duduk sepentas bersama pimpinan PH untuk melancarkan kempen Deklarasi Rakyat yang menuntut perletakan jawatan Najib. Di pihak yang satu lagi, PAS dan Umno semakin intim.
Read More / Baca Lagi >>