Sebuah firma perhubungan awam yang berpangkalan di AS menjawab permohonan Reuters bagi pihak Jho Low.
Semalam, sebuah mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan ke atas Yeo Jia Wei, bekas pengurus kekayaan bank Switzerland, BSI, kerana pengubahan wang dan penipuan dalam kes yang dikaitkan kepada siasatan ke atas penyaluran berbilion dolar dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pendakwaraya Singapura Nathaniel Khng bagaimanapun berkata watak utama ialah Jho Low, seorang ahli perniagaan Malaysia yang menghilangkan diri dari pandangan orang ramai.
Low adalah penasihat kepada dana milik kerajaan itu. Lembaga penashiat 1MDB dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib menafikan sebarang salah laku dalam masalah 1MDB dan berkata Malaysia akan bekerjasama dengan siasatan antarabangsa.
Siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) pada Jun menonjolkan peranan Jho Low dalam skandal itu.
Sementara itu, keberadaan Jho Low masih belum diketahui, tetapi Rasky Partners Inc mengeluarkan kenyataan bagi pihaknya, menjawab permohonan meminta komen daripada Reuters kepada salah satu syarikatnya.
“Sebarang usaha mengaitkan Jho Low kepada pengakuan bersalah oleh pihak yang didakwa membuat keuntungan rahsia itu berdasarkan kepada anggapan tidak berasas,” kata firma PR itu.
Ia menambah pihak berkuasa Malaysia berkata “tiada bukti dana 1MDB digelapkan”, dan dakwaan itu belum dibuktikan di mana-mana negara lain, dan “perkembangan di Singapura itu tidak mengubah perkara itu”.
“Ini contoh yang melampaui batas kemampuan dengan menggunakan naratif terpilih dan bermotif politik yang mendakwa 1MDB adalah ‘mangsa’,” katanya, dan menambah “dakwaan berkenaan cacat, berat sebelah dan menghasilkan gambaran yang salah.”
‘Kes pengubahan wang paling rumit, canggih, terbesar’
Ribut politik melanda Malaysia sejak 2 tahun lalu akibat skandal 1MDB, yang menjadi tumpuan siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Switzerland dan Amerika Syarikat.
Pendakwaraya Khng menggambarkan siasatan itu sebagai “kes pengubahan wang paling rumit, canggih dan terbesar” dalam sejarah polis kolar putih Singapura.
Yeo, 34, mengaku bersalah di atas tuduhan pengubahan wang dan penipuan pada Rabu.
Beliau sedang menjalani hukuman penjara 30 bulan kerana menghalang proses keadilan apabila menggesa saksi membohongi polis dan menghapuskan bukti dalam siasatan ke atas pemindahan dana haram yang dikaitkan dengan 1MDB.
“Kedua-dua skim untuk memperoleh keuntungan secara rahsia disembunyikan secara tidak jujur dari BSI Singapura…menyebabkan tertuduh meraih keuntungan haram sebanyak AS$3.5 juta,” kata pendakwaraya.
Read More / Baca Lagi >>