[ROMPIN] BERDAKWAH SECARA SANTAI infomalay12.blogspot.com


Berdakwah secara santai


Rancangan Dikir Zikir terbitan sebuah stesen televisyen negara yang berkonsepkan keagamaan yang diselitkan dendangan muzik ketuhanan atau lagu dengan irama tidak berat menjadi inspirasi kepada aktiviti ziarah dakwah di Kampung Bukit Serdang, di sini.

Usaha dakwah bagi memperkenalkan Islam kepada masyarakat Orang Asli di kampung itu dilakukan secara santai tetapi berhikmah bagi menunjukkan Islam bukan seperti yang mereka sangka.

Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Rompin, Muhammad Nabil Mohd Fauzi berkata, aktiviti ziarah dan ramah mesra itu dilakukan selama dua hari satu malam di mana pada siang hari dengan tujuan mendekati lebih 80 keluarga masyarakat Orang Asli bukan Islam di kampung itu.

Menurutnya, pada sebelah malam dengan menjemput tidak kira Islam atau bukan Islam untuk sama-sama hadir pada majlis jamuan yang turut diselitkan persembahan islamik dengan tazkirah mengenai Islam secara umum.

“Selepas selesai solat Isyak berjemaah di surau kampung ini, majlis jamuan dan persembahan islamik terus dimulakan serta diselitkan tazkirah yang disampaikan oleh saya sendiri.

“Peluang itu diambil oleh saya bagi menjelaskan beberapa kekeliruan atau persepsi tidak benar apabila seseorang itu memeluk agama Islam, secara keseluruhan konsep ini berjaya memikat hati mereka yang hadir untuk mendengar tazkirah yang disampaikan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan, Persembahan dan Tazkirah anjuran Muip Rompin dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin serta Kolej Komuniti Rompin di perkarangan surau Kampung Bukit Serdang, malam kelmarin.

Muhammad Nabil berkata, program ziarah dan ramah mesra itu juga tiada tentangan oleh mana-mana pihak di peringkat kampung kerana ia mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Tok Batin.


Dedahkan pelajar dengan kerja dakwah

Timbalan Penyelaras Persatuan Pelajar Islam Kolej Komuniti Rompin, Mohd Nurrahman M Osman berkata, antara objektif kerjasama itu terjalin adalah bertujuan mendedahkan pelajar dengan kerja-kerja dakwah dengan komuniti.

Katanya, dalam masa sama pelajar turut belajar kaedah pengucapan awam selain kaedah mendekati masyarakat melalui dakwah yang dibimbing oleh pegawai-pegawai Muip terlibat.

“Seramai sembilan peserta bersama empat pengiring terlibat dalam program ziarah pada sebelah siang (kelmarin). Sepanjang tempoh ziarah saya dapat melihat minat yang ditunjukkan oleh masyarakat Orang Asli di sini terhadap agama Islam.

Kakitangan Muip Rompin, Paid Rompin dan pelajar Kolej Komuniti Rompin bersama masyarakat Orang Asli muslim Kampung Bukit Serdang menunaikan solat Isyak berjemaah di surau kampung itu.


“Secara tidak langsung pelajar mahu lebih dekat dengan golongan ini supaya mereka lebih menghargai kerana Islam datang kepada mereka dengan mudah manakala masyarakat Orang Asli di sini sebaliknya iaitu dengan pelbagai cara yang mungkin sukar,” katanya.

Seorang pelajar, Muhammad Ikram Sufi Radziffullah, 22, yang ditemui mengakui program itu sangat bermakna kerana beliau dapat belajar cara berkomunikasi dengan masyarakat Orang Asli yang ada tatacaranya tersendiri.

“Mereka tinggal bersama dalam satu kampung, ada yang muslim dan ada yang bukan. Jadi bila berdakwah kita perlu mendekati mereka semua sekali gus.

“Saya juga terkejut kerana mereka ada pengetahuan tentang Islam, cuma hidayah belum sampai untuk memeluk Islam. Mari kita berdoa agar dipermudahkan kerana hidayah milik ALLAH,” katanya.


Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :