DAP menganggap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertujuan melumpuhkan pentadbiran DAP dengan mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula.
Mesyuarat tergempar DAP hari ini memutuskan untuk menunggu komunikasi rasmi daripada pihak ROS sebelum mengambil langkah seterusnya.
Guan Eng berkata, pihaknya akan meminta untuk bertemu ROS bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.
Sementara itu, Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, pihak ROS seharusnya terlebih dahulu memberi komunikasi rasmi dan bukannya mengeluarkan kenyataan media.
“Sepatutnya, ROS mesti berkomunikasi secara rasmi, bukan keluarkan kenyataan media. Ini ada implikasi undang-undang.
“Empat tahun kemudian ROS baru nyatakan senarai perwakilan tidak tepat. Jadi kita akan jumpa ROS untuk dapatkan penjelasan,” katanya seperti dipetik Roketkini.
Menurut Gobind lagi, surat daripada ROS sebelum ini dihantar selepas pemilihan semula diadakan pada tahun 2013, bertepatan dengan arahan ROS ketika itu.
Namun ROS masih enggan mengiktiraf CEC yang telah dilantik semula, dan tidak memberikan alasan serta enggan bertemu dengan peguam-peguam DAP.
DAP kemudiannya membawa ROS ke mahkamah untuk mendapatkan semakan kehakiman pada Januari 2014, namun permohonan tersebut ditarik balik setelah ROS bersetuju bahawa keengganannya mengiktiraf CEC tersebut tidak boleh dikuatkuasakan.
Semalam, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah mengeluarkan suatu kenyataan media mengarah DAP untuk mengadakan pemilihan semula empat tahun selepas suatu pemilihan semula telah dijalankan mengikut arahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu.
Ia dilihat sebagai bermotifkan politik ekoran isu tersebut ditimbulkan semula oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin ketika membalas analisis Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong akhir minggu lalu.