Mungkin bagi orang politik, ideologi tidak memberi apa-apa nilai. Mereka rasa sudah pandai dan tahu membezakan apa yang baik dan buruk. Mungkin ada benarnya pandangan seperti itu. Tetapi apakah asasnya untuk menentukan yang baik atau buruk?
Sama ada tafsiran itu betul atau tidak, mereka menganggap hanya mereka sahaja yang betul. Mereka tidak peduli sama ada orang yang sama agama dengan mereka atau yang berlainan agama, atau tidak ada kena-mengena dengan agama, mahu atau suka kepada konsert-konsert tersebut.
Dalam contoh ini, asas menentukan baik atau buruk adalah agama, atau lebih tepat lagi, tasfiran agama mereke sendiri. Tafsiran ini yang menimbulkan rasa tidak adil kerana ia adalah tindakan memaksa dan menafikan hak kebebasan berekspresi serta hak menikmati hiburan.
Dalam contoh ini juga, asas yang digunakan untuk menentukan baik atau buruk hanya menggembirakan satu kelompok tanpa mempedulikan hak orang ramai yang lain.
Satu contoh lagi ialah apabila kumpulan etnik menggunakan asas kaum untuk menentukan baik dan buruk. Misalnya, satu kumpulan kaum menganggap bahawa hanya mereka sahaja berhak mendapat keistimewaan ekonomi, pendidikan dan kawangan semata-mata kerana warna kulit mereka. Walaupun setengah abad lalu ia mungkin dianggap satu keperluan, hari ini ia sudah menjadi masalah antara kaum.
Sepatutnya, usaha membantu atau ‘affirmative action’ dilaksanakan mengikut keperluan, iaitu hak ekonomi, pendidikan dan kewangan diberikan kepada mereka yang miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, wilayah, agama atau gender.
Satu lagi contoh ialah ada orang yang percaya bahawa wanita hanya layak duduk di rumah dan tidak perlu bekerja. Ada pula orang yang mahu wanita hanya dibayar separuh gaji walaupun mempunyai jawatan yang sama dengan lelaki kerana menganggap wanita adalah kaum yang lemah dan tidak layak diletakkan sama taraf dengan lelaki.
Walaupun orang berkenaan mungkin menggunakan alasan agama atau adat resam, ia mendedahkan pemikiran diskriminasi dan menindas kerana tidak sepatutnya wujud perbezaan dalam isu gender. Ia adalah hak saksama.
Dengan contoh-contoh itu, tiada satu asas yang universal. Ia berbeza-beza mengikut keperluan kumpulan tertentu. Seeloknya penentu apa yang baik atau buruk dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama perlu bersifat universal.
Di sinilah pentingnya peranan ideologi. Daripada pelbagai jenis ideologi politik, sosial demokrasi merupakan satu jalan keluar ke arah perkongsian idea kerana sifatnya yang progresif tetapi tidak melampau serta berteraskan kepentingan rakyat. Ia mampu menawarkan asas yang adil dan saksama untuk menentukan apa yang baik atau buruk.
Ia berasal daripada sosialisme tetapi tidak radikal. Ia menentang amalan melampau. Ia menolak komunisme yang bersifat kuku besi kerana percaya kepada demokrasi pelbagai parti dan kebebasan; malah ia menerima pasaran asalkan kerajaan melindungi kepentingan rakyat, pekerja dan pengguna.
Ini adalah kerana nilai-nilai utama sosial demokrasi – kebebasan, keadilan dan solidariti – menjamin keadilan sosial untuk masyarakat. Memang ia bukan yang terbaik tetapi ia adalah alternatif yang lebih baik daripada apa yang ada di negara kita sekarang. Ia lebih baik berbanding ketidakadilan yang lahir daripada prejudis dan stereotaip bersifat diskriminasi.
Malah sosial demokrasi tidak membawa kepada amalan taksub ideologi. Jarang ada orang berideologi sosial demokrasi yang menganggap dirinya suci. Ia tidak melahirkan fanatik ideologi yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak faham realiti semasa.
Ideologi bukan ciptaan Tuhan. Ia adalah nilai-nilai asas politik insani dalam kehidupan seharian yang realistik. Ia bertujuan membantu kita meneruskan hidup dalam keadaan bersih tanpa rasuah dan salahguna kuasa. Ia bukan undang-undang untuk menghukum orang atau melarang orang atau mengharamkan itu dan ini.
Read More / Baca Lagi >>