Izinkan saya menyorot kembali pertemuan terkini di antara saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan perdana menteri Malaysia merangkap rakan-seteru politik ayahanda tersayang, Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang kini terkenal selaku tahanan politik Malaysia.
Bertempat di kota London, yang menemukan insan-insan sewarga sedang di perantauan dan mengambil semangat Syawal, kami menumpukan kepada pembentukan sebuah pakatan berasaskan reformasi demi Malaysia yang terjamin.
Malangnya, media arus perdana yang dikongkong oleh kerajaan telah mencalar pertemuan ini menerusi serangan peribadi setelah cubaan demi cubaan untuk menggugat kesatuan pakatan secara langsung dan tidak langsung dilakukan.
Semua serangan ini berpunca pasca berita bahawasanya Anwar dan Dr Mahathir telah mencapai kata sepakat membentuk barisan reformasi pembangkang menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melindungi kleptokrat dan perompak bangsa.
Jelas, asbab utama pertemuan adalah usaha konsisten yang mengutamakan negara daripada kepentingan ataupun kesengsaraan peribadi: dan ini petunjuk jelas bahawa mereka yang berada di dalam tampuk kekuasaan gentar dengan kesatuan ini.
Saat Dr Mahathir dan Anwar tampil bersama untuk rakyat, bakal menggegar persada negara yang julung kalinya bakal meraih semula negara dari tangan para perasuah-pemerintah elit.
Alangkah ruginya jika kita tidak mampu mengambil peluang ini, yang mana membuktikan kita di pihak yang benar memandangkan campur tangan melulu dari pihak atasan yang tampil dengan kenyataan balas dan serangan semberono. Tangkaplah kalau berani!
Batu asas untuk strategi BN telah dan akan terus berlandaskan konsep kolonial British yakni pecah dan perintah.
Kebergantungan kepada strategi pengundi hantu, dakwat 'tak kekal', membeli undi, dan persempadanan semula yang tidak sah - memperlihatkan agenda murahan BN untuk memecahbelahkan barisan pembangkang yang akhirnya mungkin membawa kepada perlawanan tiga atau empat penjuru.
Natijahnya, ini semua bakal membuahkan BN sebagai parti yang membolot semua kerusi.
Pada 2008, umum maklum bahawa Anwar telah mengepalai barisan Pakatan Rakyat dan mencatat rekod tertinggi pencapaian pembangkang di Malaysia. Bahkan, bertambah lagi dengan perolehan 52 peratus majoriti melalui undi popular pada tahun 2013 (meskipun setelah hampir 40 peratus kerusi-kerusi yang mengalami gerrymandering/persempadanan semula yang tempang).
Walhasil, dua tahun kebelakangan ini memperlihatkan momokan dan manipulasi pimpinan BN terhadap pemimpin kanan Pas menerusi acah-tidak-acah/bahas-bukan lulus RUU 355, yakni menyebabkan parti Pas menjauhi barisan pembangkang.
Dengan penarikan sebegini, BNl mungkin beranggapan bahawa mereka telah berjaya melumpuhkan barisan pembangkang. Syukur, berbekalkan segala daya dan upaya untuk mencantas plot jahat dan putar belit, terdapat beberapa pencetus upaya ke arah reformasi dan keadilan sebagai satu wadah penambahbaikan demokrasi di Malaysia.
Read More / Baca Lagi >>