Berkongsi ceritanya, bekas peguam negara itu berkata, satu pertemuan di kalangan hakim mahkamah agung dan mahkamah tinggi memutuskan ketua mereka ketika itu, Tun Salleh Abbas, wajar menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana mengadu ada "serangan" oleh badan eksekutif ke atas badan perundangan negara.
Dalam surat - yang ditulis sendiri oleh Salleh - kepada Agong, ketua hakim negara itu menyatakan keluhan hakim-hakim terbabit terhadap tindakan badan eksekutif ke atas badan kehakiman negara.
"Aduan itu nampaknya menyebabkan rasa kurang senang Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) Sultan Iskandar Sultan Ismail.
"Baginda kemudian merujuk memorandum daripada Salleh kepada perdana menteri dengan titah tindakan sewajarnya perlu diambil berdasarkan aduan berkenaan," kata Abu Talib kepada Malaysiakini dalam satu temu bual.
Sultan Iskandar yang dimaksudkan Abu Talib menjadi Agong ketika itu ialah Sultan Johor.
Pada 26 Julai lalu Dr Mahathir menegaskan beliau tidak bertanggungjawab atas krisis kehakiman yang berlaku 29 tahun lalu.
"Itu bukan saya, aduan datang daripada (Yang di-Pertuan) Agong, tetapi peguam negara ketika itu tidak mahu menyebut Agong, sebaliknya dia menggunakan nama saya dan memberi alasan penubuhan tribunal yang tidak saya diketahui," katanya.
Tak ada pilihan
Untuk rekod, Abu Talib adalah peguam negara ketika krisis berkenaan berlaku dan Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
Krisis berkenaan menyaksikan sebuah tribunal ditubuhkan dan Salleh akhirnya dipecat atas alasan beliau terbabit dalam salah laku.
Ramai berpendapat insiden itu menjadi titik tolak hilangnya kebebasan badan kehakiman di negara ini.
Abu Talib berkata tribunal itu ditubuhkan mengikut Fasal 125(3) dan 125(4) Perlembagaan Malaysia yang jelas menyatakan, seseorang hakim tidak boleh disingkirkan atas apa saja sebab tanpa kecuali melalui tribunal.
Read More / Baca Lagi >>