BANYAK syarikat pembinaan dikatakan sanggup menawarkan gaji tinggi kepada pekerja, sama ada yang mahir atau tidak akibat masalah kekurangan pekerja warga asing sejak akhir-akhir ini.
Kekurangan pekerja warga asing dirasai beberapa sektor pekerjaan sepanjang bulan ini selepas Jabatan Imigresen melancarkan operasi penguatkuasaan besar-besaran di seluruh negara apabila permohonan E-Kad tamat pada 30 Jun lalu.
Ramai pekerja warga asing terpaksa menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan.
Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berkata, syarikat-syarikat pembinaan yang dilanda masalah kekurangan pekerja kini sanggup menaikkan gaji lebih tinggi kepada pekerja asing yang sah demi memastikan projek berjalan mengikut jadual.
"Sebagai contoh, dalam projek yang dijalankan di Pengerang, Johor, seorang pekerja binaan biasa yang dibayar gaji RM50 sehari sebelum ini kini dinaikkan antara RM70 hingga RM80 sehari.
"Manakala bagi pekerja mahir pula, gaji mereka RM120 sehari sebelum ini kini dikira mengikut jam iaitu RM40 sejam. Sekiranya mereka bekerja lapan jam sehari, gaji mereka boleh mencecah sehingga RM320 sehari.
"Jumlah ini lebih tinggi berbanding dengan seorang pengurus di pejabat," kata Chek Lee kepada Nanyang Siang Pau.
Menurut beliau, sektor pembinaan seperti perumahan dan lebuh raya masih memerlukan antara 800,000 hingga 900,000 pekerja bagi mengisi 140 projek yang sedang giat dilancarkan di seluruh negara.
"Sekiranya masalah kekurangan pekerja ini tidak diselesaikan dengan segera, perkembangan ekonomi negara terutama dalam sektor pembinaan pasti terjejas," katanya.
Kepentingan ekonomi negara tetap dipertahankan
Kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan ekonomi negara walaupun kemasukan jumlah pelaburan China ke Malaysia meningkat sejak kebelakangan ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan memberitahu, Kerajaan Malaysia tidak akan membiarkan mana-mana negara merosakkan pertumbuhan ekonomi ataupun sumber asli yang dimiliki negara ini.
"Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, Malaysia sentiasa mengalu-alukan semua negara di dunia seperti China, India, Amerika Syarikat dan lain-lain datang menanam modal di sini.
"Kita akan terus menjalinkan hubungan yang baik dengan semua negara ini," kata Ka Chuan seperti dipetik dalam Oriental Daily.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Datuk Phang Ah Tong pula berkata, China mempunyai hak untuk mengemukakan rancangan melabur di Malaysia, namun keputusan sama ada diluluskan atau tidak, tetap terletak di tangan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan.
"Hanya projek-projek pelaburan asing yang dapat memenuhi syarat dan kriteria sahaja yang boleh diluluskan kerajaan.
"Justeru, rakyat jangan terlalu bimbang dengan kedatangan pelaburan asing ini," katanya.
Tidak tuntut wang insurans nyawa
Sementara itu, lebih RM327 juta daripada polisi insurans hayat yang telah matang tetapi tidak dituntut pemilik atau waris sejak lima tahun lalu.
Menurut Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Toi See Jong, nilai keseluruhan itu membabitkan lebih 516,000 polisi insurans hayat yang matang tetapi tidak dituntut pemilik atau warisnya.
"Oleh itu, saya nasihatkan kepada semua pemegang polisi insurans hayat segera mengemas kini segala maklumat peribadi mereka, sama ada alamat rumah, nombor telefon dan alamat email serta menyediakan nombor akaun bank agar wang insurans mereka tidak diserahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut," katanya kepada Sin Chew Daily.
Beliau berkata, hampir semua pemegang polisi yang terbabit tidak dapat dihubungi, kebanyakannya disebabkan butiran untuk dihubungi tidak dikemas kini.
“Ada yang telah tukar alamat rumah tetapi tidak memberitahu pihak syarikat insurans, dan ada pula tidak memberikan nombor akaun bank sehingga sukar memberikan wang insurans yang mereka berhak mendapatkannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemegang polisi mendaftar sistem bayaran elektronik dengan menyediakan nombor akaun bank aktif kepada syarikat insurans hayat mereka.