Berapa kos rumah terbuka PM? infomalay12.blogspot.com

Kerajaan didesak mendedahkan kos yang dibelanjakan untuk penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet di Seri Perdana pada 25 Jun lalu.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, beliau tidak berpuas hati dengan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di sesi Dewan Rakyat yang tidak mendedahkan kos tersebut.
"Saya bertanya berapakah kos terperinci majlis tersebut tetapi dijawab ia menggunakan kelayakan keraian dan diluluskan Kementerian Kewangan. Adakah Azalina tidak faham soalan?
"Kita tahu kita ini kelayakan Perdana Menteri dan kita tidak pertikai apa-apa majlis anjuran beliau. Tetapi fungsi Parlimen ialah persoal dan pantau sebarang perbelanjaan perdana menteri atau menteri," katanya dalam sidang media di Parlimen, semalam.
Dalam jawapannya sebelum ini, Azalina berkata, majlis rumah terbuka itu mengguna pakai kelayakan keraian meraikan tetamu perdana menteri.
Menurut Azalina, keseluruhan perbelanjaan diluluskan Kementerian Kewangan serta dikendalikan secara sederhana mengikut Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PB 3.1.
Selain itu, Loke berkata, soalan beliau mengenai jumlah kompaun dibayar 1MDB juga tidak dijawab oleh Azalina.
"Sebaliknya beliau hanya nyatakan kompaun telah dibayar. Kita tahu kompaun telah dibayar tetapi berapa jumlahnya?
"Adakah kompaun itu terlalu ringan hingga perlu dirahsiakan? Saya anggap ini usaha kerajaan untuk rahsiakan maklumat penting daripada orang ramai," katanya.
Beliau mendakwa, wujud trend seolah-olah semua soalan berkaitan perbelanjaan perdana menteri tidak akan dijawab.
"Ini satu trend yang teruk dalam Parlimen kerana soalan berkaitan perdana menteri atau 1MDB bukan saja ditolak, malah tidak dijawab," katanya.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :