Antara ekonomi negara dan ekonomi rakyat infomalay12.blogspot.com


Oleh Zin Mahmud
Kadang kadang cita rasa seseorang berubah ketika dalam perjalanan hidupnya. Orang yang suka bermewah tidak semestinya asalnya dari keluarga mewah. Banyak daripada mereka asalnya dari keluarga miskin, tetapi apabila sudah kaya, tentulah cita rasanya pun berubah. Sukalah bermewah, dah ada duit. Membazir pun tak mengapa. Orang lain pun tak akan marah. Dah ada rezeki. Duit sendiri. Biarlah mereka bermewah. Ini kan negara demokrasi. Negara kapitalis. Kita semua bebas.
Tapi kita semua tahukan. Kebanyakan daripada kita asalnya orang susah. Daripada keluarga miskin. Dari kampung. Tak kiralah Melayu atau Cina. Ada yang di penghujung hidupnya didapati telah berjaya. Di Malaysia ini, apa yang dikatakan berjaya adalah mereka yang dapat ada banyak duit. Tidaklah semua berjaya dalam hidupnya. Ada yang gagal. Rezeki masing masing.Melalui Dasar Ekonomi Baru, pertumbuhan ekonomi khususnya pada zaman Dr Mahathir, banyak yang berjaya. Sekali lagi disebut di sini berjaya dalam masyarakat kita adalah banyak duit. Banyak juga yang berjaya melalui politik, terutamanya UMNO. Tetapi dalam parti pembangkang pun ada yang berjaya jadi kaya. Jadi kaya ini tak kira siapa. Ada yang melalui cara tidak beretika. Banyak. Walaupun tidak melanggar undang undang, tetapi tidak beretika. Ada yang melanggar undang undang tetapi terlepas, penguatkuasaan tentunya tidak dapat mengesan semua.
Dengan banyak duit, mereka yang berjaya itu bolehlah bergaya. Sebab itulah tempat tempat mewah bercambah di negara ini, untuk menampung kehendak mereka. Yang tak berjaya tu janganlah jeles. Orang Melayu sentiasa ada ungkapan, itu dah rezeki mereka, ungkapan ini untuk meredakan rasa jeles majoriti yang gagal dalam hidup. Gagal maksudnya tak dapat banyak duit.
Dalam keadaan kesempitan duit yang melanda negara ini, ketika kebanyakan besar rakyat negara ini terjejas, orang orang kaya ini tidak terjejas. Mereka terus bermewah. Sebab itu jualan barang mewah seperti kereta mewah bertambah ketika mana jualan benda benda lain merosot akibat keadaan ekonomi sekarang.
Ada perbezaan antara ekonomi negara dan ekonomi rakyat. Ada masa ekonomi negara semakin baik tetapi ekonomi rakyat semakin buruk. Ini kerana kekayaan dalam negara berkenaan berlegar di kalangan orang kaya. Maknanya mereka bertambah kaya. Tetapi orang biasa, yang majoriti bertambah susah. Jurang mereka semakin luas.
Negara berpendapatan tinggi tidak semestinya rakyat berpendapatan tinggi. Terutama kelas menengah yang terperangkap di tengah tengah. Tapi yalah, dah rezeki masing masing.

Subscribe to receive free email updates: