Malaysia tidak perlu campur tangan asing dalam menyelesaikan masalah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepertimana tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terhadap syarikat itu baru-baru ini, kata Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.
Beliau berkata tindakan itu sangat tidak rasional dan profesional, seolah-olah satu konspirasi sedang dirancang untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Justeru, tindakan saman DOJ ini sangat meragukan lebih-lebih lagi ia langsung tidak merujuk mana-mana pihak berkuasa seperti Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam satu kenyataan.
Irmohizam merujuk kepada saman sivil terbaru DOJ bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.
Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata tindakan DOJ seolah-olah didorong motif politik pihak-pihak tertentu yang cemburu dengan apa yang dilakukan kerajaan dalam melakukan transformasi negara.
"Ini sudah menjadikan DOJ bukan sahaja bertindak melulu bahkan juga menuduh tanpa usul periksa. Tidak ada sebab untuk kita mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh DOJ," katanya.