Oleh Nurul Izzah Anwar
PERDANA Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak tidak faham atau buat-buat tidak faham perihal kebimbangan rakyat terhadap pelaburan luar biasa China di Malaysia.
Kata Najib, adalah menjadi sesuatu yang bodoh sekiranya negara menolak pelaburan, malah sebarang tindakan menolak pelaburan adalah bertentangan dengan dasar ekonomi. Ternyata, Malaysia merupakan antara destinasi utama pelaburan dari China. Ia merangkumi pelbagai sektor dari hartanah (Forest City merupakan projek hartanah paling besar di luar China), tenaga (setelah 1MDB jual jana kuasa tenaga kepada syarikat China) dan yang terbaharu automotif (setelah Proton dijual kepada Geely susulan arahan kerajaan untuk DRB-Hicom untuk cari pelabur asing).
Malah sehingga November lalu, Perdana Menteri membuka jalan ke arah 14 MoU dengan China bernilai RM143.6 bilion, bersamaan 55% belanjawan Kerajaan Persekutuan untuk tahun ini. Perdana Menteri sekali lagi terbang ke Beijing bulan lalu, untuk tujuan sama.
Hakikatnya, kami di barisan pembangkang tidak pernah sekalipun menolak pelaburan, termasuklah pelaburan dari negara asing. Malah dua negeri yang paling banyak menerima pelaburan luar, Selangor dan Pulau Pinang merupakan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan. Bagaimanapun saya amat khuatir dengan trend pelaburan dari China yang dibawa oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Kami percaya pelaburan besar seperti ini harus dibuat secara berhati-hati. Tindakan Najib ini hanya meningkatkan beban kewangan negara lantas meletakkan risiko kepada negara. Jangan dilupakan pengalaman Sri Lanka yang masih bertarung hingga ke saat ini, untuk mengurangkan peratusan milikan China ke atas pelabuhannya!
Dalam setiap urus niaga, kita harus mengambil pendekatan berhati-hati dalam menilai risiko yang wujud. Urus niaga yang dimuktamadkan dalam tempoh yang singkat meningkatkan kemungkinan eksploitasi dan rasuah. Kita sebaliknya harus berhati-hati dengan dasar negara China yang kini bersungguh-sungguh melebarkan pengaruh ekonominya. Ini mungkin akan merugikan negara dari sudut keutamaan rakyat.
Baru-baru ini pusat pemikir Institut Rakyat mengadakan sidang meja bulat mengenai pelaburan China ke Malaysia di mana saya turut hadir. Saya ingin memetik kenyataan pakar ekonomi semasa sidang berkenaan, Prof Jomo Kwame Sundaram bahawa Malaysia sejak merdeka lagi bersikap terbuka terhadap pelaburan asing, tetapi apa yang membezakan pelaburan dulu dan sekarang ialah kewaspadaan kita terhadap pemilikan asing dalam tanah dan aset di negara ini.
Sebagai contoh, Forest City di Johor dibangunkan melalui kerjasama/joint venture (JV) 66:34 antara syarikat hartanah China Country Garden dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd. Sehingga Februari lalu, 70% daripada unit hartanah berkenaan sudah dijual kepada warganegara China. Syarikat China juga melabur dalam projek hartanah dan pembangunan Melaka Gateway dan East Coast Rail Line.
Hakikatnya pelaburan China melimpah ruah tatkala negara berhadapan dengan masalah pengurusan kewangan berskala mega melibatkan syarikat ‘pelaburan strategik’ negara 1MDB. Harus diingat dan dikenang keputusan sambil lewa 1MDB yang menjual aset strategik berupa loji jana kuasa kepada China General Nuclear Power Corp pada nilai RM9.83 bilion.
Read More / Baca Lagi >>