Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu dalam temu bual dengan Channel NewsAsia berkata memandangkan partinya berasaskan orang Melayu berada pada kedudukan terbaik untuk memenangi hati pengundi Umno dan PAS, pada awalnya beliau dicadangkan menjadi pengerusi gabungan pembangkang.
"Ada yang menentang jawatan pengerusi yang diberikan itu jika saya yang memegang jawatan tersebut. Jika orang lain memegang jawatan itu baik-baik saja, tetapi bukan saya," katanya.
Bersatu bekerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah parti serpihan PAS dalam usaha menewaskan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak pada PRU14.
PH sedang dalam usaha mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan untuk bertanding dalam PRU14 sebagai satu pakatan rasmi tetapi butiran mengenai struktur kepimpinan perlu diselesaikan terlebih dulu.
Dr Mahathir berkata ada cadangan "tidak masuk akal" untuk menamakannya sebagai "penasihat eksekutif" tetapi beliau menolaknya.
“Ini percanggahan, anda tidak boleh menjadi eksekutif dan penasihat pada masa yang sama. Tetapi ini adalah perkara yang menangguhkan mesyuarat kami," katanya.
Satu lagi cadangan ialah untuk Dr Mahathir menjadi pengerusi sementara Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan presiden sementara suaminya, Anwar Ibrahim ialah penasihat gabungan itu.
Read More / Baca Lagi >>