Dalam satu kenyataan dikeluarkan dari penjara pada Sabtu lepas, Anwar berkata "perbalahan (berkaitan siapa bakal perdana menteri) sangat meletihkan (pembangkang), sedangkan keputusan akhir terletak ditangan pengundi dalam pilihan raya umum".
Setiausaha Umum PKR Saifuddin Nasution memberitahu akhbar Singapura, The Straits Times, kenyataan Anwar itu sebagai bantahan kepada hasrat bekas mentornya itu untuk mengetuai PH.
"Anwar tidak mahu isu tentang siapa bakal PM atau siapa yang akan memegang tampuk utama menjadi fokus utama. Beliau mementingkan struktur asal (pembangkang) di mana semua adalah setara," jelas Saifuddin.
Kebelakangan ini, Dr Mahathir melobi pemimpin tertinggi pembangkang supaya menerima usul menjadikan parti berasas Melayunya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai kuasa dominan di dalam PH dan menjadikan timbalannya Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin kedua tertinggi PH, menurut laporan The Straits Times.
Jika pembangkang menjadi pilihan utama di kalangan pengundi di kawasan bandar, kebanyakan pengundi Melayu di kawasan luar bandar secara tradisi menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Najib Razak yang mengetuai Umno.
Dalam beberapa pertemuan peribadi antara pemimpin pembangkang, Dr Mahathir bertegas menumbangkan genggaman kuat Umno ke atas Melayu luar bandar - di mana majoritinya masih menyokong Najib, pakatan pembangkang harus teguh dan setiap parti komponen mesti bersatu menyokong parti berasaskan Melayu dan pemimpin tertinggi adalah daripada kalangan komuniti Melayu.
Beberapa pemimpin PKR dan DAP secara peribadi menyatakan usul Dr Mahathir itu mampu memberi semangat kepada pembangkang yang masih terluka selepas penarikan parti Islam PAS daripada pakatan pembangkang.
"Apa yang boleh mengubah keputusan pilihan raya adalah perpecahan cengkaman Umno ke atas undi penduduk Melayu luar bandar."
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa pemimpin tertinggi PH yang skeptikal terhadap usul Dr Mahathir itu, dan sangsi kerana melihat ia sebagai langkah menggunakan pembangkang untuk memenuhi agenda peribadi.
Pembangkang menang hampir 52% undi popular dalam pilihan raya umum pada Mei 2013, tetapi hanya memperolehi 89 daripada 222 kerusi Parlimen.
Read More / Baca Lagi >>