Salah pilih perjuangan, Hafiz sedia keluar Bersatu
Bersatu
KUALA LUMPUR - Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Muhammad Hafiz Azhar melahirkan rasa kesal menyertai parti itu yang disifatkan lari dari perjuangan yang diharapkan.
Menurutnya, dia kecewa dengan tindakan parti yang menjatuhkan hukum sedangkan dia hanya berniat untuk membersihkan nama pucuk pimpinan parti berkenaan.
"Apa yang saya bangkitkan bukan datang dari saya, tetapi dari akar umbi. Mengapa tiada yang jawab untuk bersihkan nama?
"Saya agak kesal memilih perjuangan dengan parti ini kerana saya fikir dengan perjuangan baharu ini anak muda lebih bebas bersuara. Tetapi lihatlah apa yang berlaku," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung kenyataan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang mahu menghadapkannya ke Lembaga Disiplin Bersatu ekoran sidang media yang diadakan pada Sabtu lalu.
Dalam sidang media itu Muhammad Hafiz yang juga Pengerusi Biro Keselamatan Armada meminta Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil dan membersihkan nama dengan menafikan tuduhan skandal bersama seorang wanita.
Beliau juga mahu Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan mengenai kekayaan luar biasa anak-anaknya.
Sebelum ini, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut membidas tindakan Muhammad Hafiz membuat kenyataan berkenaan yang disifatkan hanya mewakili individu malah bertentangan dengan pendirian Armada Pusat.
Berikutan itu, Muhammad Hafiz berkata, dia menerima kecaman hebat sehingga membabitkan keluarganya.
"Teruk saya dikecam jika lihat di media sosial menyatakan saya makan dedak,dibeli dan sebagainya. Tetapi mengapa perlu babitkan anak dan isteri saya?
Ditanya sama ada dia akan keluar parti, ujarnya ia masih dalam peringkat pertimbangan dan bersedia ke arah itu.
"Saya masih pertimbangkan jika itu jalan terbaik. Saya yakin 1,500 Armada bersama saya. Jika keluar parti, saya lebih selesa bergerak atas nama NGO," katanya.