PK HEM, bekas pengetua kena bayar tuntutan kepada mangsa buli infomalay12.blogspot.com

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengarahkan sembilan pihak termasuk lima pembuli, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan bekas Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) membayar tuntutan sebanyak RM616,634.20 kepada seorang pelajar.

Kesemua mereka didapati bersalah mengakibatkan pelajar tingkatan dua terbabit cedera, mengalami tekanan perasaan secara berterusan dan juga pembelajaran terjejas akibat kejadian buli, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan yang difailkan plantif menerusi bapanya, Ahmad Fauzi Abdullah, 50, terhadap sembilan pihak termasuk lima pembuli yang juga bekas pelajar seniornya (defendan pertama hingga lima) melalui peguamcara Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.

Mahkamah turut membenarkan tuntutan itu terhadap Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sulaiman Ngarif (defendan keenam); bekas pengetua SESMA, Meriam Jusoh (defendan ketujuh); Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (defendan kelapan) dan Kerajaan Malaysia (defendan kesembilan).

Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, kejadian yang berlaku di bilik asrama ketua pengawas pada 26 April 2015 itu seolah-olah sudah dirancang.

"Pihak sekolah pula dilihat begitu cuai kerana tidak membuat kawalan sedangkan kejadian itu di bilik asrama ketua pengawas bukannya di tepi longkang atau di kaki lima.

"Saya lihat jadual warden bertugas sudah disusun begitu cantik tetapi tidak berguna kalau tak menjalankan tugas diamanahkan. Lebih baik letak jawatan dan jadi guru biasa sahaja.

"Bagi defendan enam dan tujuh pula, saya lihat mereka cuai menjalankan tanggungjawab memastikan kebajikan sekolah dijaga terutama keselamatan pelajarnya," katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun dibuli dan dipukul selama lebih tiga jam oleh lima pelajar seniornya di dalam bilik asrama ketua pengawas sekolah.

Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan koyak di selaput telinga kanan, kehilangan pendengaran (jenis konduktif), trauma, tekanan perasaan dan beberapa lagi kecederaan lain.

Kejadian buli itu juga menyebabkan plaintif mengalami tekanan perasaan secara berterusan dan juga pembelajaran terjejas sehingga terpaksa berpindah ke sekolah baharu sejak Julai 2015.

Subscribe to receive free email updates: