Umat Melayu Islam sedang terperangkap - Sultan Nazrin infomalay12.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Bangsa Melayu pada ketika ini dilihat semakin lemah lantaran empat punca utama yang mendominasi kehidupan seharian pemimpin dan rakyat. 

Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, budaya politik yang berlaku ketika ini menyebabkan umat Melayu Islam terperangkap dalam situasi yang mengaibkan diri sendiri.

“Islam telah membina umat Melayu yang berdisiplin, amanah, jujur, luhur dan ikhlas. Islam telah menyatukan umat Melayu, membina ukhwah hingga umat Melayu bersatu teguh, muncul sebagai umat yang kuat.

“Tetapi hari ini umat Melayu kelihatan beransur lemah, kerana umat Melayu telah kehilangan semangat ukhwah, umat Melayu telah lemah jati diri, umat Melayu semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan, umat Melayu semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.


“Budaya berpolitik yang sedang berlaku di bumi warisan bangsa ini, telah menjelmakan ketaksuban baharu, menghidupkan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran yang lebih mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan, daripada kepentingan menerima kebenaran; mencanai minda yang lebih mementingkan kumpulan, daripada kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh.

“Umat Melayu Islam sedang terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan airnya semakin terpercik ke muka sendiri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Ahli-ahli Majlis Agama Islam, Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Melaka di Bandar Melaka pada Jumaat.

Mengungkap kembali titah ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah semasa lawatan rasmi ke Melaka pada 12 hingga 14 Julai 1990 sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Kesembilan, Sultan Nazrin mahu titah nasihat itu kekal menjadi pedoman pemimpin dan rakyat.

“Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah menzahirkan titah pada malam 12 Julai; antara kandungan titah baginda mengandungi baris-baris berikut:

“Rakyat Melaka seharusnya berbangga dengan sejarah dan kegemilangan empayar Melaka. Aspek-aspek kejayaan dan keagungan Kesultanan Melaka pada zaman silam sebagai pusat perdagangan, pusat pertumbuhan kebudayaan dan pusat penyebaran agama Islam haruslah dijadikan sebagai unsur penggalak untuk kita mencapai kecemerlangan masa hadapan.

“Walau bagaimanapun terdapat titik-titik hitam dalam sejarah Melaka yang harus kita renungkan bersama agar ia tidak berulang lagi. Di samping kita berbangga dengan kejayaan Melaka, kita haruslah menjaga perpaduan oleh sebab perpecahan, perselisihan faham dan perebutan kuasa adalah antara faktor-faktor yang menjatuhkan keagungan Kesultanan Melaka sehingga Melaka dijajah oleh kuasa-kuasa barat,” baginda memetik titah almarhum ayahanda baginda.

Jelas baginda, titah yang dizahirkan lebih 28 tahun yang lalu itu merupakan peringatan yang kekal hidup dan wajib dijadikan renungan.

“Ia supaya umat Islam di bumi ini tidak tercicir yang dikendong, tidak berakhir dengan menang menjadi arang - kalah menjadi abu, kerana kecenderungan untuk terus bersengketa. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk kepada ummah, jalan yang lurus,” tambah baginda.  - Astro AWANI 7 Dis 2018 #CelahGelegar 

Subscribe to receive free email updates: