Pasangan suami isteri yang kemalangan di Thailand, mungkin terpaksa menjual rumah mereka di Rawang, Selangor, selepas keluarga kepada warga Thailand yang meninggal dunia dalam kejadian itu menuntut pampasan RM200,000.
Dalam kemalangan pada 10 malam 19 Disember lalu, Abd Wahab Yahaya, 56, dan isterinya, Junaidah Muhammad Said, 45, dikatakan bertembung dengan pejalan kaki ketika menunggang motosikal di Jalan Aonang, dekat Krabi, Thailand.
Mengikut undang-undang di negara berkenaan, penunggang motosikal atau pemandu kenderaan akan dipersalahkan jika kemalangan membabitkan pejalan kaki.
Anak kepada pasangan itu, Amirun Aziz Abd Wahab, 21, berkata, dia sekeluarga kini buntu untuk menyelesaikan pampasan berkenaan, lebih-lebih lagi dengan keadaan bapanya yang parah dan masih dirawat di Hospital Krabi, Krabi.
“Dalam kejadian itu, ibu dan bapa saya pengsan. Mama mengalami gegaran pada otak dan mengalami hilang ingatan sekejap.
“Bapa pula patah tulang rahang, pipi kanan dan hidung selain pendarahan pada mata.
“Berdasarkan laporan polis, bapa dipersalahkan dalam kejadian itu dan menurut undang-undang di negara itu, bapa perlu bertanggungjawab. Keluarga warga Thailand yang meninggal dunia menuntut pampasan RM550,000 sebelum jumlah itu dikurangkan kepada RM200,000 selepas perbincangan dengan peguam dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Amirun Aziz berkata, bapanya kini masih dirawat dan baru selesai menjalani pembedahan di negara berkenaan serta tidak dibenarkan pulang selagi proses perbicaraan di mahkamah tidak selesai dan ia dijangka akan dibicarakan pada 9 Januari depan.
“Malah, pasport bapa berada di tangan pihak berkuasa Thailand. Dalam keadaan kesihatan bapa yang teruk, saya sekeluarga mahu bapa dibawa pulang secepat mungkin ke negara ini memandangkan ibu sudah dibenarkan pulang semalam.
“Bapa tidak dibenarkan pulang kerana dia yang menunggang motosikal dan perlu bertanggungjawab untuk perbicaraan serta menjelaskan tuntutan kepada keluarga mangsa.
“Saya sekeluarga kini sedang mempertimbangkan untuk menjual rumah bapa di Rawang untuk menampung tuntutan berkenaan. Saya meminta jasa baik rakyat Malaysia untuk mengurangkan beban ini dengan menghulurkan sedikit bantuan kewangan.
“Bantuan boleh disalurkan ke akaun Maybank saya 162713016800. Segala jasa baik semua saya dahulukan dengan ucapan terima kasih,” katanya.