Seorang gadis dihujani panggilan telefon dan mesej melalui aplikasi WhatsApp gara-gara alamat pelik yang tertera pada bungkusan pesanannya.
Bungkusan yang tertera alamat ‘Masuk Ke Dalam Sikit, Rumah Saya Kat Belakang Warna Kuning, Jerantut, Pahang’ itu menjadi tular dalam media sosial sejak kelmarin.
Pemilik bungkusan itu, Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri, 18, berkata, dia terkejut apabila alamat berkenaan digunakan oleh platform e-Dagang terkemuka Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee.
“Sebenarnya itu bukan alamat yang saya tulis pada maklumat peribadi ketika membeli barang melalui Shopee.
“Itu hanyalah keterangan yang ditulis kerana rumah saya agak tersorok bagi memudahkan posmen mencarinya,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Jerantut Feri di sini hari ini.
Menurutnya, alamat rumah yang betul telah ditulis namun tidak menyangka pihak Shopee menggunakan keterangan berkenaan untuk menghantar barang pesanannya.
“Saya sudah membeli barangan melalui Shopee sudah hampir setahun namun ia kali pertama kejadian ini berlaku,” ujarnya.