Perak: 16 Parlimen berubah selepas persempadanan, 9 kerusi PH infomalay12.blogspot.com

 FMT| March 30, 2018
Kerusi terkesan adalah Larut, Parit Buntar, Bukit Gantang, Taiping, Tambun, Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Kampar, Gopeng, Tapah, Lumut, Bagan Datuk, Teluk Intan dan Tanjung Malim.
PETALING JAYA: Sebanyak 16 kerusi Parlimen di Perak akan berubah selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya, 9 daripadanya dipegang parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Perubahan itu disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui usul yang diluluskan di Dewan Rakyat Rabu lepas.

Kerusi terkesan adalah Larut, Parit Buntar, Bukit Gantang, Taiping, Tambun, Ipoh Timor, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Kampar, Gopeng, Tapah, Lumut, Bagan Datuk, Teluk Intan dan Tanjung Malim.
Daripada jumlah itu, 6 kerusi dipegang DAP, 6 Barisan Nasional (BN), 2 PKR, 1 Amanah dan 1 PAS.

Perubahan paling ketara di Parlimen Beruas, yang menyaksikan 55% peningkatan bilangan pengundi apabila kerusi DUN Sitiawan dipindahkan dari Parlimen Lumut.

Nama DUN Sitiawan juga akan diubah kepada Astaka, sempena padang luas yang terletak di pekan yang sebahagian daripada lapangan terbang di zaman penjajah British. Ia kini menempatkan stadium mini dan medan selera.
Ahli Parlimen Beruas dan Adun Sitiawan sekarang, Datuk Ngeh Koo Ham tidak berpuas hati dengan perubahan nama itu, mengatakan ianya tidak logik.
“Astaka hanya satu kawasan kecil dengan satu padang di Sitiawan. Ia juga tidak logik terutama kerana nama ‘Sitiawan’ mempunyai sejarah lebih 2 abad,” katanya.

SPR menerima cadangan menamakan semula kerusi itu kepada Astaka oleh exco Perak Datuk Saarani Mohamad dan 2 lain semasa pendengaran bantahan pertama.

SPR menerima cadangan itu selepas mengambil kira “nilai komersial dan rancangan pembangunan di kawasan itu”.
Berkenaan Parlimen Beruas yang mengalami peningkatan bilangan pengundi daripada 49,205 orang kepada 76,294, Ngeh merasakan ia mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

Katanya, dengan memindahkan Sitiawan daripada Lumut ke Beruas, Lumut secara efektifnya menjadi kerusi majoriti Melayu.
“Lumut akan terjejas tetapi Beruas akan menjadi kerusi lebih baik untuk PH.
“MCA membantah pemindahan itu kerana ia akan menjadi kerusi majoriti Melayu. Nampaknya MCA terpaksa beri laluan kepada Umno di Lumut,” kata Ngeh.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2013, Lumut yang mempunyai 53% pengundi Melayu, dimenangi calon PKR, Mohamad Imran Abd Hamid yang mengalahkan calon BN, Tan Sri Kong Cho Ha dengan majoriti 8,168 undi.

Kebanyakan undi kemenangan di Lumut itu dari DUN Sitiawan yang mempunyai 74% pengundi Cina. Dua kerusi lain bawah Lumut, Pasir Panjang dan Pangkor pula dipegang BN. Adun Pangkor adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Parlimen Beruas mempunyai 52% pengundi Cina pada 2013.
Perubahan pada 8 kerusi Parlimen lain di Perak adalah seperti berikut berdasarkan penelitian FMT:

Larut
Terdapat 3,298 pengundi dipindahkan dari DUN Batu Kurau ke DUN Kubu Gajah. Daerah mengundi yang terkesan adalah Pantai Besar, Relang, Jelai, dan Kampong Ayer Hitam. Kedua-dua DUN itu dipegang BN.

Pada PRU14, seramai 46,262 pengundi akan berada di Larut, lebih rendah berbanding jumlah 46,577 pada PRU lepas. Parlimen Larut dipegang Menteri Perdagangan Domestik, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Parit Buntar
Seramai 49,951 pengundi akan berada di kerusi ini pada PRU14, lebih rendah berbanding jumlah 51,422 pada PRU lepas. Kerusi dipegang oleh wakil rakyat Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, yang bertanding bawah tiket PAS pada 2013.

Hanya 2 kerusi DUN di Parit Buntar terkesan, apabila 2,366 pengundi dari DUN Titi Serong dipindahkan ke DUN Kuala Kurau. Titi Serong dipegang PAS sementara Kuala Kurau dipegang PKR.

Bukit Gantang
Dianggarkan 11,000 pengundi dipindahkan dari Bukit Gantang ke Parlimen Taiping yang dipegang DAP.
Ahli Parlimen Bukit Gantang sekarang adalah wakil rakyat PAS, Idris Ahmad.

Taiping
Kubu kuat DAP ini akan mempunyai 86,432 pengundi pada PRU14, berbanding 78,148 pengundi pada PRU lepas.
Dengan penambahan hampir 11,000 pengundi dari Parlimen Bukit Gantang, satu-satunya perubahan adalah di kerusi DUN Aulong dan DUN Pokok Assam.
Sejumlah 6,531 pengundi dari daerah mengundi Muzium dan Jalan Simpang dipindahkan dari DUN Aulong ke DUN Pokok Assam. Kedua-dua kerusi itu dipegang DAP.

Tambun
Kerusi ini bakal mempunyai sejumlah 96,437 pengundi pada PRU14, berbanding dengan 89,435 pada 2013. Kerusi itu sekarang dipegang wakil rakyat BN, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Tiada statistik setakat ini yang menyatakan jumlah pengundi yang dipindahkan, tetapi bantahan terhadap pemindahan pengundi dari DUN Manjoi ke DUN Jelapang ada dicatat.

Ipoh Timor
Terdapat 89,218 pengundi di kerusi ini kini berbanding 81,818 semasa DAP memenangi kerusi itu pada 2013.
Terdapat pemindahan pengundi yang banyak dari Parlimen Gopeng, dengan 11,418 pengundi dari DUN Sungai Rapat berpindah ke DUN Tebing Tinggi yang terletak di bawah Ipoh Timor.
Terdapat 11,418 pengundi dari daerah mengundi Pengkalan Gate, Pengkalan Pegoh, dan Pengkalan Barat.

Di Ipoh Timor, 7,604 pengundi dari DUN Tebing Tinggi dipindahkan ke DUN Pasir Pinji, melibatkan daerah mengundi Housing Trust, Jalan Kampar dan Jalan Bendahara.
Daerah mengundi Jalan Tun Perak dari Parlimen Ipoh Barat juga dibawa masuk ke Ipoh Timor, dengan 521 pengundi dimasukkan ke DUN Tebing Tinggi.

Seramai 3,152 pengundi dari daerah mengundi Jalan C M Yusof dan Jalan Raja Ekram di DUN Tebing Tinggi dipindahkan ke Parlimen Ipoh Barat. Pengundi-pengundi tersebut kini bawah DUN Kepayang.
Seramai 3,3,29 pengundi lagi di DUN Canning, di Ipoh Timor, kini dipindahkan ke DUN Hulu Kinta yang merupakan sebahagian daripada Parlimen Tambun.

Ipoh Barat
Kerusi dipegang DAP ini akan mempunyai 82,041 pengundi pada PRU14, berbanding 77,761 pada 2013.
Peningkatan itu disebabkan oleh 4,000 pengundi yang dipindahkan dari Parlimen Ipoh Timor dan Tambun. Sebahagian besar pengundi yang dipindahkan dari DUN Tebing Tinggi di Ipoh Timor.

Apabila dihubungi, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata berdasarkan kajiannya, 5,000 pengundi dipindahkan keluar dari kerusinya sementara 12,000 pengundi dipindahkan masuk.

Batu Gajah
Seramai 77,931 pengundi akan mengundi di Batu Gajah pada PRU14, penurunan yang banyak berbanding 87,587 pengundi pada PRU lepas.

Kini dipegang wakil rakyat DAP, V Sivakumar, daerah mengundi yang dipindahkan ke Batu Gajah masih belum diketahui.
Satu-satunya pemindahan pengundi keluar dari Parlimen Batu Gajah adalah daerah mengundi Kuala Pari Hilir dengan 624 pengundi dipindahkan ke Parlimen Ipoh Timor.

Perubahan besar di Batu Gajah di daerah mengundi Bukit Kledang di mana 3,818 pengundi dipindahkan dari DUN Menglembu ke DUN Jelapang. Kedua-dua DUN itu dipegang DAP.

Subscribe to receive free email updates: