Dalam hal ini saya tidak sekepala dengan Mahathir. Saya amat yakin PRU14 akan diadakan tidak lama lagi. Dalam masa yang sama saya tidak menafikan yang Mahathir ini memiliki maklumat-maklumat sahih ‘dari orang dalam’ yang bercanggah dengan pandangan saya.

Saya juga amat yakin Mahathir masih lagi memiliki sosok-sosok jaringan ‘deep state‘ (daulah terpendam) yang bersedia memberi maklumat dalaman kepada Mahathir. Mustahil setelah berkuasa selama 22 tahun tidak ada pegawai tentera atau pegawai PDRM atau mata-mata gelap yang sedia membocorkan maklumat dalaman kepada Mahathir. Pasti ada.
Jika saya yakin bahawa PRU14 akan diadakan bukan bermakna saya menafikan jaringan ‘deep state’ Mahathir atau saya telah mengundur dan lari dari falsafah dan pandangan saya tentang pilihan raya yang anuti selama ini.
Saya masih lagi yakin bahawa dalam negara Dunia Ketiga jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa maka pilihan raya itu akan diharamkan. Dalam perkara ini saya tidak berganjak.
Saya buktikan kenyataan saya ini dengan memberi ingatan sejarah. Pada tahun 1964, pilihan raya kerajaan tempatan telah diharamkam. Sampai hari ini kerajaan tempatan tidak ada pemilihan. Kenapa diharamkan? Kerana setiap kali diadakan pengundian yang menang ialah Parti Rakyat dan Parti Buruh. Parti United Malays National Organisation dan konco-konconya dalam Perikatan hilang wang pertaruhan. Ini sejarah.

Di Malaysia ini lembaga daulah didakwa akan memastikan Najib dan United Malays National Organisation akan terus menang. Najib akan terus berkuasa. Tugas ini tidak beralih dari zaman Tunku hingga ke hari ini.
Jika ada sesiapa tidak sedar dan tidak faham tentang hal ini maka saya cadangkan mereka pergi berehat dan kemudian hantukkan kepala sendiri ke dinding.
Sedarlah bahawa lembaga daulah adalah alat Najib. Pengerusinya dilantik oleh Najib. Justeru lantikan – orang yang dipilih – bertujuan untuk memastikan Najib menang. Kalau tidak mamat ini tidak akan dilantik oleh Najib.
Ini sama seperti lembaga-lembaga daulah yang lain. Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), pengarahnya dilantik oleh Najib. Jadi adakan SPRM akan melakukan siasatan kes 1MDB? Begitu juga dengan peguam negara. Sosok ini ini dilantik oleh Najib. Maka adakah peguam negara akan membuka siasatan kes 1MDB atau kes pembunuhan Altantuya?
Ini hakikat. Ini politik negara Dunia Ketiga. Ini politik Malaysia. Kita bukan di London. Kita bukan di Sweden atau di Melbourne. PRU14 akan dijalankan di Malaysia, sebuah negara Dunia Ketiga.
Najib terus berkuasa
Dalam PRU14 nanti, dari pemerhatian politik hari ini, saya cukup yakin Pakatan Harapan akan menang. Sama seperti dalam PRU13 dulu, Pakatan Harapan akan mendapat sokongan majoriti. Rakyat akan berbondong-bondong memberi undi kepada Pakatan Harapan.
Tapi terima jugalah hakikat bahawa Najib dan Rosmah akan berkuasa kembali.
Saya ulangi sekali lagi. Dalam PRU14, Pakatan Harapan akan menang. Tapi Najib mungkin akan terus berkuasa.
Ayat saya ini pelik dan berbelit-belit. Kalau Pakatan Harapan menang mana mungkin Najib dan Rosmah terus berkuasa? Kalau Pakatan Harapan mendapat undi majoriti bagaimana Najib masih lagi berkuasa?
Sabar dulu, biar saya huraikan satu persatu untuk memahami dan menghayati makna ayat saya itu.
Gelombang anti United Malays National Organisation makin ampuh. Gelombang benci kepada Najib makin menyerlah. Gelombang muak dan mual melihat muka Rosmah tergedik-gedik ke hulu ke hilir telah memberi kebaikan yang maha sangat kepada Pakatan Harapan.
Warga Felda sedang bangun memberontak. Hutang pak cik dan mak cik peneroka tak pernah langsai. Lepas satu hutang ada lagi hutang baru. Mahathir sedang menghuruharakan Felda. Najib terpaksa membuat Felda 2.0 untuk ‘membodek kembali’ sokongan peneroka. Ada 54 kerusi parlimen terikat dengan Felda. Jika warga Felda beralih, maka Najib dan Rosmah lingkup.

Cikgu dan cikgi secara terbuka telah menyatakan benci kepada Najib. Pegawai kerajaan semakin ramai dan semakin berani berpaling tadah. Ini terbukti dengan amaran pak menteri kepada cikgu dan pegawai kerajaan yang akan dibuang kerja jika mereka menyokong Pakatan Harapan.
Ini bermakna undi akan meloroh masuk ke dalam tangki Pakatan Harapan. Betul. Sahih. Sekali pandangan kita akan lihat inilah yang akan berlaku. Tapi sabar dulu.
Najib akan melakukan silap mata. Ini silap mata yang lebih hebat dari David Copperfield (bawah). Lebih hebat dari Raja Hussein Magic Show dari Jelebu. Lebih hebat dari tok bomoh firaun yang menjadikan ular dari tali.
Read More / Baca Lagi >>