Undi 'kingmaker' akan rosakkan demokrasi infomalay12.blogspot.com

Bekas anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar memberi amaran kepada pengundi terutamanya penyokong bekas partinya agar tidak membiarkan parlimen tergantung pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana situasi itu akan "merosakkan proses demokrasi" di negara ini.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata jika parti itu boleh memenangi 40 kerusi parlimen, parti lain tidak akan dapat membentuk kerajaan dengan bergantung pada kerusi mereka sendiri.
Bagaimanapun, Mahfuz, yang baru-baru ini keluar dari PAS berkata mereka yang percaya parlimen akan tergantung selepas PRU adalah individu yang masih percaya kepada kekuatan PAS.
"Mereka yang mengundi PAS dan membenarkan parti itu menjadi faktor penentu dalam keadaan parlimen tergantung akan dipersalahkan kerana membenarkan ketidakstabilan politik berlaku selepas pilihan raya," kata anggota parlimen Pokok Sena itu ketika ditemui di Alor Setar, Kedah.
"Pengundi ini akan dianggap sebagai perosak demokrasi, mereka akan dipersalahkan kerana menjual undi mereka.
"Mereka tidak boleh memberi undi kepada parti yang dilihat menentang kedua-dua belah BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN), yang mana akan berunding dengan parti yang tidak dapat membentuk kerajaan tetapi kemudian berunding dengan Umno," katanya.
PAS kini mengetuai Gagasan Sejahtera, gabungan kuasa ketiga yang terdiri daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia, kedua-duanya tidak pernah memenangi pilihan raya.
'Jadi alat politik'
Mahfuz merujuk kenyataan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang berpendapat kemungkinan parlimen tergantung selepas pilihan raya umum akan datang berdasarkan "tinjauan sepintas lalu" oleh rakan-rakannya.

Parlimen tergantung adalah situasi di mana parti politik tertentu atau gabungan sedia ada tidak mempunyai majoriti mutlak dalam parlimen untuk membentuk kerajaan. Mahfuz, yang masih belum memutuskan parti mana akan disertainya dalam HARAPAN memberi amaran kepada pengundi agar tidak menjadi "komoditi politik" yang digunakan oleh pihak tertentu.
Lebih-lebih lagi, Mahfuz menjangkakan PAS mungkin akan mengheret situasi itu ke muktamarnya untuk membuat keputusan sekiranya parlimen tergantung.
"Tetapi berapa lama kita perlu tunggu? Mereka akan 'ding-dong', sementara kerajaan tidak dapat dibentuk, ia akan menjadi keadaan yang kacau," kata Mahfuz.
Langkah seperti itu, tambah Mahfuz, adalah sama dengan "mengganggu" proses demokrasi menerusi pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun sekali.
"Kerajaan mesti dibentuk sebaik sahaja keputusan pengundian diumumkan, demi kestabilan politik dan ekonomi.
"Jadi, pengundi mesti membuang undi mereka kepada BN atau HARAPAN, jika mereka beri undi kepada PAS, mereka mungkin tidak dapat membentuk kerajaan, itu akan menjadi perosak sebenar," katanya.
Mahfuz yang menjadi anggota parlimen selama tiga penggal juga memberi amaran keadaan parlimen tergantung boleh dimanfaatkan oleh pihak tertentu.
Beliau berkata keadaan tidak menentu itu akan memberi peluang kepada sesetengah pihak mencetuskan kekacauan, atau menghasut orang lain melakukan perbuatan jenayah seperti pengeboman atau rusuhan.
"Bagi saya, hanya ada HARAPAN atau BN. Mesej saya kepada rakyat adalah PAS tidak sepatutnya diberikan kerusi, pilih sama ada BN atau HARAPAN," kata Mahfuz.
Malaysia Timur jadi penentu
Sementara itu, anggota parlimen Sungai Petani dari PKR Datuk Johari Abdul (gambar) tidak menolak kemungkinan parlimen tergantung tetapi berkata perkara itu akan diselesaikan oleh parti-parti di Sabah dan Sarawak.
Kedua-dua negeri di Malaysia Timur itu sering dianggap sebagai "simpanan tetap" kerapa BN dan pembangkang sukar menembusi negeri berkenaan.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: