“Ia adalah soal rakyat lawan Najib. Dan ia adalah kempen David lawan Goliath,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen dua penggal itu berkata situasi semasa sudah mencapai tahap di mana tidak ada guna untuk cuba meneka bila Najib akan mengadakan pilihan raya.
“Jika Parlimen dibubarkan sebelum Ramadan (17 Mei) dan sebelum (penasihat PKR) Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara pada 8 Jun, pembubaran Parlimen akan berlaku sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 5 Mac atau selepas ia berakhir pada 5 April.
“Apapun, senang simpulkan yang kita ada kurang 100 hari menuju pilihan raya paling penting dalam sejarah Malaysia,” kata Liew kepada sukarelawan pada sesi latihan PACA di Johor Bahru Ahad lalu.
Sebab Najib masih belum memutuskan untuk mengadakan pilihan raya adalah kerana beliau sendiri tidak pasti jika beliau sudah memenangi hati rakyat Malaysia, kata pemimpin berusia 40 tahun itu.
Walaupun parti pemerintah menggunakan jentera kerajaan dan gerimander, Liew berkata dekad lepas membuktikan pengundi masih boleh mengubah keadaan.
“Walaupun Najib percaya ‘wang adalah raja’, wang tak boleh beli segalanya.
“Pada 2007, saya sedang buat kajian dan banyak habiskan masa melepak bersama ahli Parlimen di ruang kopi Parlimen. Satu tengahari, seorang timbalan menteri MCA yang sudah kaya sebelum sertai politik beritahu saya, ‘anak muda, jangan terlibat dalam politik jika tak ada duit. Politik semuanya soal duit.
“Tahun seterusnya, dia kalah (dan tak pernah menang lagi walaupun bertanding sekali lagi pada 2013) sedangkan saya menang dengan duit yang sedikit, hasil sumbangan derma kawan-kawan dan mereka yang berniat baik.
“Saya mahu kata yang duit boleh beli banyak benda tetapi tidak semestinya ia mampu beli jiwa dan akal rakyat.
“Kita, rakyat, ada kebanggaan, aspirasi dan integriti. Kuasa rakyat pada 2008 membuktikan yang politik bukanlah tentang duit,” kata Liew yang turut menambah walaupun situasi nampak tidak memihak, kadang-kadang perkara boleh berubah.
Pada Disember 2007, berdasarkan tinjauan yang dilakukan di Bukit Bendera, 30% mengatakan mereka akan mengundi BN dan hanya 1% mahu mengundi DAP, kata Liew.
“Mungkin ramai yang hampa dan tidak bersemangat melihat data itu. Tetapi saya sangat optimis yang ada 45% lagi yang kata ‘(undi) adalah rahsia.’
“Dalam konteks Malaysia yang masih mendalam ketakutan kepada kekuasaan, ramai tidak mahu beritahu perkara sebenar tentang kecenderungan politik mereka apabila ditanya pengkaji.
“Rupa-rupanya mereka yang kata ‘undi adalah rahsia’ mungkin semua undi saya. Lawan saya, penyandang tiga penggal Chia Kwang Chye, timbalan menteri dan ketika itu setiausaha agung Gerakan yang memerintah Pulau Pinang sejak 1969 hingga 2008 menerima 62% undi pada PRU14 tetapi saya kalahkan dia dengan 67% undi pada 2008,” kata Liew.
Katanya, penyokong BN tidak akan selamanya sokong BN.
“Apabila tsunami berlaku, Umno tak akan mampu ramalkan siapa antara mereka yang akan memberontak dan mengundi lawan Najib.
“Akhirnya, dalam pertandingan berat sebelah di Malaysia, satu-satunya cara untuk menewaskan Umno-BN adalah penglibatan besar-besaran rakyat Malaysia menerusi kempen bersemuka dengan rakyat, bukan dipandu oleh parti politik tetapi yang mendapat semangat daripada penglibatan rakyat biasa.”