Tiada keperluan tambah sekolah Cina: Jati infomalay12.blogspot.com

Tiada keperluan tambah sekolah Cina: Jati
(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Pertubuhan Jati (Jati) membantah permintaan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang mahu kerajaan membina lagi 34 sekolah rendah Cina di Malaysia.

Presidennya, Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fithri Othman berkata, pihaknya  merasakan permintaan pembinaan 34 buah sekolah Cina adalah tidak wajar.
"Tindakan ini merupakan agenda politik yang boleh memudaratkan keharmonian dan kesejahteraan negara, "katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan Dong Zong yang mahukan lagi 34 buah sekolah Cina dibina di negara ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Dong Zong minta 34 sekolah baharu ]
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Dong Zong menerusi Presidennya Datuk Vincent Lau berkata, walaupun sebelum ini kerajaan telah meluluskan 10 sekolah rendah Cina baharu dan pemindahan enam sekolah rendah Cina, namun jumlah ini masih belum mencukupi.

Mengulas lanjut, katanya tiada keperluan untuk menambah sekolah Cina di Malaysia buat masa ini.
"MCA telah pun meminta tambahan ini dan dalam bajet 2018 Kerajaan Barisan Nasional telah bersetuju dan meluluskan 10 buah sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC)," katanya.

Jelasnya, desakan MCA ini telah dilayan oleh kerajaan, namun permintaan yang diminta oleh pihak mereka menunjukkan mereka terlalu mementing diri dan sengaja menjadikan ini satu isu untuk memecah belahkan keharmonian negara.

"Seharusnya puak puak ini bersama sama mengangkat Sekolah Kebangsaan menjadi sekolah hebat dan bersifat mahu membina kesepaduan rakyat melalui pendidikan dan bukan menuntut yang bukan bukan yang boleh merenggangkan kesepaduan rakyat di negara ini," katanya.

Katanya, pihaknya melihat pendidikan  SJKC diterima baik dalam sistem pendidikan di negara ini.
"Terdapat masih banyak lagi SJKC yang mengalami masalah kekurangan murid. Terdapat banyak bilangan sekolah kebangsaan yang mencukupi untuk menampung keperluan pendidikan rendah di kawasan yang tidak mempunyai SJKC," katanya.

Justeru tegasnya, mereka berpendapat apabila kita bekerjasama, bertolak ansur, tidak prejudis, tidak berfikiran sempit, tidak mementingkan diri dan mewujudkan suasana ketegangan, maka semuanya akan berjalan dengan baik.
"Kerajaan Malaysia tidak pernah mengenepikan isu pendidikan malah  sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada sudah terbukti berjaya melahirkan golongan cerdik pandai yang diiktiraf di dalam negara dan pada peringkat antarabangsa," katanya.

Oleh itu, katanya pihaknya menggesa kerajaan Malaysia agar tidak memenuhi permintaan mereka.
"Satu perbincangan meja bulat hendaklah dibuat agar pihak mereka diberi penjelasan lanjut mengenai isu ini agar ia tidak akan berulang dan menjadi satu isu politik semasa demi menjaga keharmonian negara," katanya

Subscribe to receive free email updates: