Pembinaan semula jambatan gantung Pamah Aur yang rosak akibat banjir tahun lalu akan ditambah baik dari segi rekaannya yang disesuaikan mengikut keadaan bencana alam semasa.
Exco Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, struktur pembinaan jambatan gantung baharu terbabit akan ditinggikan sedikit dari tapak asal bagi mengelak kerosakan sekiranya banjir berlaku.
“Jambatan ini berbeza sikit dari yang sebelum ini. Asalnya jambatan ini adalah jambatan kayu yang rosak akibat banjir. Kemudian pada tahun 2014 kita telah mendapat peruntukan RM160,000 untuk menaik taraf kepada jambatan besi. Malangnya pada awal tahun 2017 jambatan besi yang telah dinaik taraf itu rosak semula akibat banjir.
“Saya kemudiannya memohon semula peruntukan tetapi permohonan kali ini lebih banyak iaitu lebih kurang RM500,000.
"Kita turut mendapat pandangan dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kota yang meminta jambatan ini ditinggikan sedikit kerana sekiranya berlaku banjir kemungkinan tidak akan rosak,” katanya ketika melawat jambatan terbabit yang sedang dalam proses menanggalkan besi pada jambatan lama yang rosak di Kampung Bukit Kota di sini, semalam.
Hadir sama Penghulu Mukim Jelai, Ahsyar Amin Ahmad dan Pengerusi JKKK Bukit Kota, Hamzah Husin. Sebelum itu Wan Rosdy meluangkan masa melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Bukit Kota dan menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada empat keluarga yang terlibat banjir.
Beliau yang juga Adun Jelai berkata, adalah diharapkan agar pembinaan jambatan baharu itu berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan dan sekiranya cuaca mengizinkan ia dapat disiapkan dalam tempoh 10 minggu dari sekarang.
Tambahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Lipis dan negeri telah membuat struktur baharu kajian dan ia tidak terlalu lewat kerana semua sedia maklum apabila agensi kerajaan menerima permohonan daripada wakil rakyat khususnya, mereka akan meneliti, buat kajian, memberi pandangan serta nasihat berapakah peruntukan yang harus dimohon.
Tambahnya, di Kampung Pamah Aur terdapat 15 rumah dengan isi rumah seramai 25 orang dan jambatan ini digunakan oleh penduduk kerana ia dapat memendekkan masa perjalanan ke sekolah serta pekan berhampiran.
Selasa lalu tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki membawa anaknya ke sekolah dengan menyeberangi arus deras Sungai Tanum menggunakan jambatan gantung rosak.