[KUANTAN] MEKANIK TUTUP BENGKEL, SEDIA PERKHIDMATAN BOT PENAMBANG infomalay12.blogspot.com


Mekanik tutup bengkel, sedia perkhidmatan bot penambang


Perkhidmatan bot penambang bagi membawa penumpang menyeberangi jalan yang terputus hubungan akibat banjir menjadi punca pendapatan sampingan bagi seorang pengusaha bengkel kereta di sini.

Wan Mohd Faizal Wan Ibrahim, 32, berkata, ketika musim banjir bengkelnya terpaksa ditutup dan dia mencari alternatif lain untuk meraih pendapatan.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, dia menggunakan bot gentian kaca miliknya bagi membawa penumpang menyeberangi jalan yang terputus akibat banjir di Jalan Sungai Lembing - Kuantan dekat Kampung Bukit Kuin.

“Saya dan rakan, Razali Abdul Rashid memulakan perkhidmatan ini seawal jam 7 pagi hingga 8 malam bagi membolehkan penduduk di sini keluar dan pulang membuat sebarang urusan kerja dan sebagainya.

“Saya hanya mengenakan tambang RM5 seorang bagi setiap perjalanan sehala dan setakat ini mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM250 sehari.

“Saya akan bawa penumpang menyeberangi jalan yang terputus sejauh 2 kilometer dan melibatkan empat buah kampung yang menggunakan laluan tersebut iaitu Kampung Nadak, Kampung Kolek, Kampung Batu dan Kampung Bukit Kuin,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Untuk keselamatan, Wan Mohd Faizal turut menyediakan jaket keselamatan yang wajib dipakai setiap penumpang.

Dalam pada itu, menurutnya, tindakan menyediakan bot penambang dilakukan kerana memahami kesusahan dihadapi penduduk untuk keluar dan masuk mencari makanan, bahan keperluan dan sebagainya.

“Dulu sebelum ada bot, saya sudah pernah merasa susah untuk membuat pelbagai urusan kerana jalan yang terputus jadi apabila memiliki bot sendiri kita tahu apa yang diperlukan dan cuba beri kemudahan kepada orang yang lain,” katanya.

Sementara itu, penumpang, Naim Abdullah Zakaria, 29, yang merupakan penduduk setempat berkata, tindakan dilakukan pengusaha tersebut tepat pada masanya, sekali gus berpuas hati dan memuji tindakan yang dilakukan itu.


Subscribe to receive free email updates: