Pada sidang media selepas mesyuarat, Ketua Sekretariat PH, Saifudin Abdullah turut memaklumkan lokasi konvensyen yang akan berlangsung di Shah Alam.
Menurut sumber, dua isu pokok yang menjadi topik perdebatan itu adalah mengenai calon perdana menteri dan pembahagian kerusi antara parti yang akan menjadi pengumuman utama semasa konvensyen itu.
PKR menuntut agar mereka diberikan kerusi paling banyak dalam pembahagian kerusi antara parti PH sebagai syarat untuk membolehkan mereka bersetuju dengan cadangan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika PH memenangi Pilihan Raya Utama ke-14 (PRU14) nanti.
Namun begitu, Bersatu tidak bersetuju pembahagian kerusi dikaitkan dengan cadangan Dr Mahathir sebagai calon PM, kata sumber itu.
Ekoran itu, ada yang mengugut jika gagal menyelesaikan isu calon PM dan pembahagian kerusi maka konvensyen perlu dibatalkan, katanya.
Pihak paling lega dengan keputusan mesyuarat semalam adalah Syed Ibrahim Syed Noh, ketua Penerangan PKR yang merupakan pengarah konvensyen.
"Alhamdulillah konvensyen akan diteruskan 7 Januari ini sebagaimana diumumkan sidang media tadi," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat.
Namun, ia masih belum menyelesaikan sepenuhnya halangan yang dihadapi PH apabila mesyuarat itu tidak berjaya menyelesaikan kedua-dua isu penting itu.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika ditemui The Malaysian Insight selepas mesyuarat, menggambarkan perbincangan hangat yang berlangsung.
"Umpama tajuk novel Allahyarham Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan," katanya, merujuk kepada sasterawan negara dan bekas ahli Parlimen PAS di Sik, Kedah yang meninggal dunia baru-baru ini.
Menurut Fahmi, mesyuarat itu berjaya membuka jalan untuk menyelesaikan kedua-dua isu berkenaan, walaupun belum berjaya diselesaikan sepenuhnya.
"Mesyuarat sudah nampak jalan penyelesaian itu walaupun belum selesai sepenuhnya lagi. Ia sesuatu yang melegakan," katanya.
Keputusan siapa calon PM PH belum dimuktamadkan sepenuhnya lagi manakala pembahagian kerusi tinggal tidak sampai 20 kerusi lagi yang belum selesai, katanya.
"Kita harap kedua-duanya dapat diselesaikan sebelum konvensyen 7 Januari ini atau sejurus selepas itu," kata Fahmi.