GEORGIA: Seorang ibu dipercayai telah mengenakan bayaran sewa rumah kepada seorang anaknya yang baru sahaja berusia lima tahun.
Kejadian ini dilaporkan berlaku di kawasan sekitar Georgia, Amerika Syarikat.
Ibu kanak-kanak tersebut iaitu Essence Evans dalam kenyataan Facebooknya menulis bahawa dia telah memberikan duit untuk perbelanjaan anaknya sebanyak $7 pada setiap minggu.
Namun, dia akan menolak $5 daripada wang terbabit untuk membolehkan kanak-kanak tersebut membayar sewa rumah termasuklah bil air, elektrik, makanan dan juga televisyen.
Selepas ditolak kesemua sewa berkenaan, baki wang yang tinggal kepada anaknya adalah sebanyak $2.
“Strategi ini bukan hanya menyediakan anak saya kepada dunia sebenar tetapi apabila mereka melihat bil yang sebenar, mereka akan menghargai anda kerana memberikan diskaun yang banyak.”
“Saya sebenarnya menyimpan duit sewa sebanyak $5 supaya bila dia besar nanti dan memutuskan untuk pindah, dia boleh menggunakan wang itu sebagai deposit,’’ katanya.
Namun begitu, status yang di muat naik oleh Evans mendapat kecaman yang hebat kerana tindakan tersebut dianggap kejam ditambah pula dengan usia anaknya yang masih kecil.
“Saya tidak akan berkongsi kisah ini dengan sesiapa pun sebab anda ibu yang teruk. Saya faham apa yang awak cuba lakukan tapi saya tidak akan paksa anak saya membayar untuk tempat tinggal yang menjadi miliknya.” Sumber: Mynewshub, Editor: Amira