BANDARAYA MELAKA - "Pas sepatutnya bertanding di semua 28 kerusi Dun dan semua kerusi Parlimen di negeri ini padaPRU14," kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Menurutnya, kenyataan Pas mengumumkan akan bertanding di 22 kerusi Dun dan lima kerusi Parlimen itu dilihat sebagai satu penelitian yang dilakukan parti pembangkang terbabit sebelum mengambil keputusan untuk bertanding di kerusi dipilih.
"Pas merupakan antara sebuah parti politik kanan di Melaka yang bukan asing di negara kita malah pernah berada dalam satu kerusi Dun pada suatu ketika dahulu dan jika diikutkan 22 kerusi itu juga tidak cukup untuk Pas bertanding.
"Pada pandangan saya, Pas perlu bertanding di semua kerusi Dun yang mana enam baki kerusi Dun yang tidak disertai membuatkan mereka (Pas) terpilih-pilih untuk bertanding manakala satu kerusi Parlimen adalah Parlimen Kota Melaka," katanya.
Enam kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan di Melaka adalah Tangga Batu, Kota Melaka, Bukit Katil, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Jasin.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan sambutan Hari Natal kepada 300 penerima penganut Kristian yang turut dihadiri isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah, di Dewan Seri Bendahara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk M.S. Mahadevan dan Pengarah JKM, Burhanuddin Bachik.
Tambahnya, Pas mengambil kira kepentingan pengundi Melayu atau Islam di negeri ini dan menganggap enam kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen yang tidak disertai itu juga mempunyai pengaruh dan kesan ke atas parti berkenaan.
Pada program penyampaian sumbangan itu, Idris berkata ia membabitkan peruntukan sebanyak RM60,000 dan menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bertuah kerana mempunyai masyarakat majmuk dan harmoni dalam meraikan semua perayaan.