Dzulkifli Ahmad didesak menjawab spekulasi sebuah rakaman video menunjukkan pasangan di Bali adalah dirinya.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo membuat desakan itu susulan penularan video yang dipercayai dirakam di Bali, Indonesia.
“Saya meminta Dzulkifli, sama ada benar atau tidak dialah individu di dalam video yang tersebar yang didakwa dirakam di Bali, Indonesia.
“Beliau kena jawab spekulasi bahawa individu itu yang kini sedang beredar di kalangan orang ramai adalah dirinya. Sekiranya itu bukan dirinya, maka saya minta beliau nyatakan secara terbuka,” katanya semasa sidang media di Parlimen hari ini.
Katanya, penjelasan Dzulkifli dapat membersihkan nama beliau sebagai pengerusi SPRM.
“Tindakan itu perlu untuk membersihkan nama dirinya yang mempunyai kedudukan di dalam SPRM. PDRM atau mana-mana agensi penyiasatan perlu sedar bahawa imej agensi mereka tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini adalah untuk memastikan keyakinan masyarakat terhadap mereka.
“Saya membuat gesaan ini sebagai seorang wakil rakyat kerana SPRM ditubuhkan berasaskan undang-undang, yang diluluskan di Parlimen pada 2009. Malah jawatan ketua pesuruhjaya SPRM merupakan jawatan khas yang terkandung di bawah Seksyen 5 akta berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan pasukan khas menyiasat tuduhan itu.
Polis turut mengesahkan sedang menyiasat video tersebut.