Pemimpin Umno gembira Nor Yakcop keluar Khazanah infomalay12.blogspot.com

Ia langkah yang 'tepat', kata ahli MT Umno Puad Zarkashi, yang mengaitkan peletakan jawatan itu dengan kerugian forex Bank Negara.
puad
PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan Umno mengalu-alukan peletakan jawatan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop daripada Khazanah Malaysia semalam, sambil mengaitkan bekas menteri kewangan itu dengan kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti perdagangan mata wang asing (forex) lebih 2 dekad lalu.
“Kredibiliti Khazanah boleh terjejas jika beliau masih lagi menjadi ahli Lembaga Pengarah. Maka beliau mengambil langkah yang tepat tanpa menunggu pihak pengurusan membuat arahan sedemikian,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi kepada FMT.
Semalam, Khazanah, syarikat pelaburan dimiliki Kementerian Kewangan, mengumumkan peletakan jawatan Nor Yakcop sebagai timbalan pengerusi dan juga ahli Lembaga Pengarah, berkuatkuasa 30 September ini.
Puad, yang mengetuai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Jabatan Perdana Menteri, sebelum ini menyelar Nor Yakcop berhubung keterangannya di Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian berbilion dolar BNM pada 1990-an.
Puad menuduh Nor yang menjadi saksi RCI itu cuba melindungi Tun Dr Mahathir Mohamad apabila memberitahu panel siasatan yang bekas perdana menteri itu tidak terlibat dalam aktiviti forex BNM, di samping mengaku bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku.
“Jangan pula kerana diberi peluang semula sebagai penasihat kewangan kepada perdana menteri semasa krisis kewangan tahun 1997/1998 menyebabkan Nor Mohamed Yakcop bersedia menjadi kambing hitam hingga tersembunyi fakta sebenar mengenai skandal kewangan yang menyebabkan negara kerugian pulohan bilion ringgit ketika itu,” kata Puad merujuk keterangan Nor Yakcop di RCI pada 6 September lalu.
Puad berharap dengan peletakan jawatan Nor Yakcop akan memudahkan beliau mendedahkan “apa sebenarnya yang berlaku dalam skandal” yang mendatangkan kerugian kepada bank pusat itu.
“Ini soal ketelusan dan kredibiliti kerana isu kerugian forex dikaitkan dengan beliau,” katanya.
RCI kerugian forex tamat semalam selepas 42 dokumen diteliti dan 25 saksi memberi keterangan.
Selain Nor Yakcop, saksi lain termasuk Dr Mahathir, bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin, dan beberapa pegawai yang terlibat dengan BNM.
Laporan penuh RCI akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong 13 Oktober ini.

Subscribe to receive free email updates: