Bagi menanam semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke 60 hari ini, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Indera Sempurna Fasa 1A mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang secara gotong-royong.
Kemeriahan dapat dilihat apabila kawasan perumahan itu dihiasi Jalur Gemilang di sepanjang jalan masuk ke taman selain setiap rumah diceriakan dengan bendera kebanggaan rakyat Malaysia itu.
Pengerusi KRT Taman Indera Sempurna Fasa 1A, Zainudin Ismail berkata, ini adalah kali pertama pihaknya mengadakan usaha sedemikian dan tidak menyangka penduduk memberi kerjasama yang baik.
Menurutnya, masing-masing mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli Jalur Gemilang yang dipasang di rumah mereka.
“Saya gembira melihat suasana taman dihiasi Jalur Gemilang malah penduduk juga tidak kisah mengeluarkan wang sendiri untuk tujuan tersebut.
“Saya harap usaha ini memberikan mesej positif kepada penduduk terutama kepada generasi muda dalam menghayati erti kemerdekaan negara,”katanya pada program penutup Bulan Kemerdekaan, semalam.
Hadir merasmikan penutup, Adun Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.
Zainudin berkata, pihaknya juga menyediakan hadiah kepada penduduk yang kreatif menghias termasuk menghias basikal dengan Jalur Gemilang.