Naib Presiden PKR Rafizi Ramli percaya bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan membubarkan Dewan Rakyat tahun ini untuk membuka jalan supaya pilihan raya umum ke-14 diadakan. “Besar kemungkinan PRU14 tidak dipanggil tahun ini untuk membolehkan isu-isu ekonomi diselesaikan dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Invoke di Kuala Lumpur petang ini. Andaian Rafizi itu berdasarkan hasil sebuah tinjauan mengenai sentimen pemilih mengenai ekonomi, kos hidup dan inflasi. Antara penemuan kajian itu adalah bahawa 59 peratus daripada 3,783 responden berpendapat bahawa hala tuju ekonomi berada di landasan yang salah. Sementara itu, 65 peratus responden percaya keadaan kewangan keluarga mereka kini semakin buruk berbanding empat tahun lalu. Rafizi berkata ini menunjukkan bahawa orang ramai yang tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Najib menguruskan ekonomi. Oleh itu, beliau percaya bahawa perdana menteri mungkin mahu memperbetulkan ekonomi sebelum mengadakan pilihan raya umum.