Melaka: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inilah waktu terbaik semua jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bersatu meruntuhkan kubu pembangkang yang diketuai DAP.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, tempoh dua penggal pembangkang memberi pelbagai janji palsu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan Ke-13 sudah berlalu, dan mandat sebenarnya harus dikembalikan kepada BN.
"Saya khuatir jika BN tidak bekerja keras, kita akan disejarahkan dan dikecundangkan. Cukup-cukuplah... kita belajar daripada pengalaman (lalu), terbuai daripada mimpi terdahulu.
"Tugas-tugas kita dalam parti UMNO untuk membantu calon BN. Begitu jugalah kepemimpinan komponen lain untuk membantu calon UMNO dalam PRU akan datang.
"Tolonglah... inilah ketikanya zaman DAP mula merudum dan empayar 'Dinasti Lim' akan pecah dan runtuh dalam PRU-14," katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Hotel Mahkota di sini, semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Wira Latiff Tamby Chik; Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan.
Kira-kira 500 perwakilan UMNO menghadiri mesyuarat berkenaan yang membabitkan 65 cawangan Bahagian Kota Melaka bagi mendengar amanat Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyeru semua kepemimpinan parti untuk memberi tumpuan terhadap persiapan PRU-14, berbanding cuba untuk melobi dalam pemilihan parti.
"Apa maknanya menjadi ketua bahagian kalau tidak merampas semula kerusi yang kalah. Saya menyeru kepada diri saya dan rakan-rakan lain untuk mengutamakan PRU-14, ketepikan pemilihan parti.
"Saya tahu ada sesetengah tokoh cuba melobi (jawatan). Ada yang jumpa tiga kali, nak rancang jumpa pun ada. Saya tahu, sebab saya Menteri Dalam Negeri," katanya.