GERAKAN selaku plaintif, memfailkan saman itu melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Liang Teck Meng.
Setiausaha Agung GERAKAN, Datuk Liang Teck Meng (tiga dari kiri) ditemani peguam, Datuk Baljit Singh (empat dari kanan) mewakili GERAKAN hadir memfailkan saman terhadap Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi Georgetown, kerana mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap parti itu berhubung penjualan tanah di Sri Tanjung Pinang I (STP I), tahun lalu.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Guan Eng dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap parti itu mengenai penjualan tanah STP I yang kemudian diterbitkan di beberapa media dan buletin DAP.
GERAKAN menerusi peguamnya, Datuk Baljit Singh ketika ditemui, berkata kenyataan fitnah dikeluarkan Guan Eng selaku defendan itu kerap diulang, selain diterbitkan media sehingga menyebabkan reputasi plaintif terjejas.
Plaintif antara lain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah ke atas semua ganti rugi terbabit, membuat atau menerbitkan permohonan maaf di semua media, kos tindakan dan apa-apa relif tambahan bersesuaian.