PRK CHINI: ADA PERTANDINGAN ATAU TIDAK PEMUDA UMNO PAHANG TETAP SIAP SIAGA infomalay12.blogspot.com






Ada pertandingan atau tidak bagi pihak pembangkang berdepan calon Barisan Nasional (BN), Pemuda UMNO Pahang tetap bersiap siaga untuk mempertahankan kemenangan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 Julai ini.

Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor berkata, berasaskan manifestasi perjuangan, Pemuda UMNO negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk membantu jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) sekiranya PRK berlangsung pada tarikh tersebut.

"Kita tidak ambil kisah pembangkang bertanding atau sebaliknya namun jentera Pemuda UMNO khususnya dalam DUN Chini telah diaktifkan dan hanya menunggu arahan untuk bertugas sahaja pada bila-bila masa.

"Sekiranya ada pertandingan nanti, Pemuda UMNO akan tetap menjalankan tugas seperti pada PRU-14 lalu, iaitu mengikut arahan Pengerusi Perhubungan BN negeri berasaskan kesiapsiagaan dan strategi yang telah kami atur," katanya kepada PahangStory hari ini.

Menurut Mohd Farid, Pemuda UMNO dari seluruh bahagian negeri ini akan 'berkampung' di Chini untuk memastikan 'track record' legasi Allahyarham Dato' Sri Abu Bakar Harun supaya terus kekal dengan majoriti malahan diyakini akan bertambah berasaskan senario semasa.

"Secara track record DUN Chini merupakan kubu kuat BN dan peningkatan majoriti Allahyarham (Abu Bakar) semasa PRU-14 lalu membuktikan kekuatan BN di negeri ini," katanya.

Mohd Farid yang juga Ketua Pemuda UMNO Lipis berkata, beberapa pihak telah memberikan pandangan supaya pembangkang tidak meletakkan calon PRK Chini berasaskan faktor kesihatan penduduk berikutan wabak COVID-19 belum pulih, pembaziran wang dan sebagainya, tetapi siapa pun tidak tahu permainan dan strategi mereka (pembangkang) malah BN perlu waspada berasaskan senario politik di tanah air hari ini.

"Sekiranya ada pertandingan nanti sudah tentu wujud percaturan menerusi kempen dengan lebih sengit dengan lontaran pelbagai isu daripada pembangkang di samping serangan cybertroopers menerusi saluran maya," katanya.

Mohd Farid berkata, Pemuda UMNO yakin dengan gabungan kekuatan jentera pilihan raya BN negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail mampu mengekalkan kemenangan dengan peningkatan majoriti berbanding pencapaian pada PRU-14 dua tahun lalu.

"Kecemerlangan kepimpinan serta pembangunan untuk rakyat yang dilakarkan menerusi kebijaksanaan Wan Rosdy serta rakan pemimpin BN khususnya gabungan UMNO - Pas negeri ini antara pelantar bagi rakyat memberikan kepercayaan penuh dan kesetiaan kepada kerajaan hari ini," ujarnya.

Tambahnya, legasi kepimpinan Allahyarham Dato' Sri Abu Bakar Harun sendiri telah mengubah landskap pembangunan DUN Chini mampu memberikan kemenangan kepada calon BN berasaskan kebenaran itu dizahirkan sendiri oleh pengundi kawasan itu.




Subscribe to receive free email updates: