Sepatutnya Tiada lagi budaya ziarah selepas hari raya pertama infomalay12.blogspot.com

Ismail Sabri menegaskan kebenaran mengunjungi rumah ahli keluarga hanya diberi pada hari raya pertama sahaja.
Tiada lagi budaya ziarah selepas hari raya pertama - Ismail Sabri

Orang ramai perlu menerima perubahan dengan tidak lagi boleh meneruskan budaya kunjung mengunjung selepas hari raya pertama, buat sementara waktu demi kebaikan semua pihak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu adalah menyalahi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan kompaun serta-merta dikenakan.

"SOP jelas... hari raya pertama sahaja. Kebenaran hanya diberi pada hari raya pertama sahaja. Walaupun Syawal sebulan tapi kebenaran (sambutan) hanya untuk hari raya pertama sahaja.

"Hari-hari lain dianggap menyalahi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya pada sidang media di Putrajaya, di sini pada Selasa.

Sementara itu, berhubung sebuah klip video yang tular di laman sosial mengenai seorang pemandu bas wanita di Singapura yang kematian suami di Malaysia, Ismail Sabri berkata, kerajaan membenarkan wanita itu pulang bagi menghadiri upacara pengebumian.

"Bagaimanapun, dia perlu mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk memakai pakaian pelindung diri (PPE). Selain itu, dia hanya diberi kebenaran selama tiga jam dan perlu diiringi petugas barisan hadapan sepanjang pengebumian itu.

"Jika wanita itu balik ke Singapura dan dia perlu melalui kuarantin wajib, itu terserah kepada kerajaan Singapura,"ujarnya.

Ismail Sabri bagaimanapun mengakui beliau belum dimaklumkan mengenai kes itu.

Klip video yang menjadi tular memaparkan wanita itu yang sedang memandu bas dikatakan tidak dapat meneruskan pemanduan disebabkan terlalu sedih sebaik menerima panggilan memaklumkan kematian suaminya.


Dia telah memberhentikan bas itu di perhentian bas Clementi, Singapura dan menangis sebelum dibantu orang awam.

Subscribe to receive free email updates: