PM: Ini mungkin bukan Kerajaan yang anda undi, tapi kami peduli infomalay12.blogspot.com

SURI rumah, Erme Harlini Zulkifli mendengar perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang dilaksanakan kerajaan dan penularan wabak Covid-19 di Sungai Merab, Bangi.
PM: Ini mungkin bukan k'jaan yang anda undi, tapi kami peduli

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajuinya bersungguh-sungguh memikirkan kepentingan setiap rakyat Malaysia.

“Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda undi. Tapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini ambil berat akan kamu,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung tengah hari tadi.


Ucapan Muhyiddin itu sempena mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Muhyiddin yang menjadi perdana menteri susulan 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) bulan lalu, turut mengakui hakikat bahawa dia memegang jawatan itu pada masa yang sangat mencabar.

“Saya menerima hakikat bahawa saya menjadi perdana menteri anda, bukan pada masa terbaik. Saya berhadapan krisisi politik, ekonomi dan kesihatan, semuanya berlaku dalam masa yang sama,” katanya.

Langkah Sheraton bulan lalu menyebabkan negara terperangkap dalam krisis politik selama kira-kira seminggu, sebelum PN yang dianggotai Bersatu, Umno-BN, PAS dan GPS menubuhkan kerajaan.

Ketika langkah itu digerakkan, wabak Covid-19 di Malaysia masih dalam kawalan, namun situasi menjadi semakin buruk selepas perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur berlangsung dan menjadi kluster baru penyebaran wabak itu.

Setakat tengah hari tadi, jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 26 korban, dan terdapat 130 kes baru yang menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 2,161.

Sementara itu, dalam ucapannya, Muhyididn berkata negara kini berdepan dengan musuh yang tidak kelihatan.

“Situasi yang kita hadapi kini tidak pernah berlaku dalam sejarah … Situasi yang julung-julung kali berlaku ini, memerlukan langkah tindakan yang julung-julung kali diadakan.

“Jadi, saudara dan saudari, serta anak-anak bangsa tanah air ini, sama ada kamu Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Orang Asal, bersabarlah dengan saya dan rakan-rakan saya di dalam kabinet, dan (bersabarlah) dengan kerajaan ini.

“Kami tidak sempurna, tapi kami sedang lakukan sebaik mungkin untuk mengharungi krisis ini, bersama-sama sebagai satu bangsa.

"Insya-Allah, selepas segala-galanya berakhir dan krisis ini sampai ke penghujungnya, kita akan lahir sebagai bangsa yang lebih kuat,” tambahnya lagi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Manakala sebanyak RM20 bilion yang lain telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Beliau turut mengumumkan bantuan tunai sebanyak RM10 bilion untuk disumbangkan kepada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan bagi membantu mereka berdepan dengan kemelut ekonomi yang berlaku ekoran pandemik itu.

Di sebalik wabak yang melanda negara, Muhyiddin yang juga merupakan presiden Bersatu menerima kritikan atas pemecatan setiausaha agung Bersatu, Marzuki Yahya, yang dikenali sebagai penyokong setia bekas perdana menteri dan pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad pada 18 Mac.


Muhyiddin melantik Hamzah Zainuddin menggantikan Marzuki.

Mahathir membantah pemecatan Marzuki itu, dan menyifatkannya sebagai tidak sah memandangkan perlembagaan Bersatu memperuntukkan bahawa pelantikan atau pemecatan setiausaha agung perlu dibawa berunding dengan pengerusi parti.

Terdahulu hari ini, Majlis Presiden PH menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan membendung wabak Covid-19 dan mengetepikan isu lantikan politik buat masa ini, ekoran pemecatan yang berlaku dalam Mara, Yayasan Kebajikan Negara, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), dan lain-lain.

Subscribe to receive free email updates: